Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Hari Terbuka WARAS pada 9 April 2017 yang lalu. WARAS merupakan Pusat Penyelidikan (CoR) di FKEE yang menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan kejuruteraan komunikasi secara umum. Secara khusus, terdapat empat kluster penyelidikan iaitu satu antena dan peranti gelombang mikro, dua kajian perambatan atmosfera, tiga rangkaian wayarles adhoc, dan empat komunikasi wayarles dan optik.
Program Hari Terbuka WARAS dimulakan dengan aktiviti Fox Hunting untuk pelajar-pelajar yang dikendalikan bersama dengan pihak Jalur Selatan Radio Amatur (JASRA). Di dalam aktiviti ini, pelajar-pelajar di dalam kumpulan masing-masing dikehendaki untuk memasang antena mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan kemudian menggunakan antena tersebut untuk mengesan kedudukan beacon yang mengeluarkan isyarat tertentu.
Selain itu, terdapat pameran daripada empat kluster penyelidikan WARAS dan juga pameran radio amatur daripada Jalur Selatan Radio Amatur (JASRA) serta pameran peralatan HF daripada Tactical Communications Sdn. Bhd.
Dua sesi perkongsian ilmu juga telah diadakan iaitu daripada Profesor Madya Dr. Jiwa  Abdullah (ahli WARAS) bertajuk Wireless Sensor Networks and Future Challenges dan Profesor Madya Dr. Jafri Din daripada Wireless Communication Centre (WCC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan tajuk Challenges of Next Generation Broadband Multimedia Satellite Communication & Its Propagation Impairment Mitigation Technique: The Wave Propagation Perspective.
Kemuncak program Hari Terbuka WARAS adalah majlis pelancaran logo baharu WARAS yang telah dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Profesor Dr. Ruzairi Abdul Rahim. Melalui pameran, sesi perkongsian ilmu dan aktiviti yang melibatkan pelajar diharap bukan hanya menjadi medium perkongsian maklumat berkaitan bidang penyelidikan, kepakaran dan peralatan yang ada di WARAS sahaja, malah diharapkan dapat memberi peluang kepada warga UTHM, khususnya staf-staf dan para pelajar FKEE,  untuk mengenali WARAS dengan lebih dekat. Penglibatan JASRA sewaktu pelaksanaan program Hari Terbuka ini diharap dapat memantapkan lagi hubungan kerjasama di antara WARAS dan JASRA.