Unit Kesenian, Kebudayaan dan Warisan(UKKWA) Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Bengkel Asas Penulisan Skrip Drama Televisyen bersama Persatuan Penulis Johor (PPJ).

PPJ yang dinaungi Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin , Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Hussein Onn Batu Pahat, Johor merupakan persatuan penulis tertua dan sangat aktif di Johor.

Program yang telah dilaksanakan baru baru ini telah disempurnakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Tuan Abang Haliman Abang Julai dan turut dihadiri oleh Ketua 1 Persatuan Penulis Johor Encik Amiruddin Ali Hanapiah.

Program ini mengambil pendekatan perkongsian belanjawan yang mana masing-masing menyumbang dana bagi menggerakkan program dan memanfaatkan langkah kerajaan dalam mengamalkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Program ini juga melibatkan tiga puluh Pelajar IPG dan dua buah sekolah iaitu Sekolah Men Keb. Tun Dr. Ismail Parit Raja dan Sekolah Men. Keb. Dato Bentara Luar Batu Pahat Johor. Penceramah jemputan pada Bengkel selama 1 hari itu disampaikan oleh En. Mohd Fairuz Bin Padoli yang merupakan Penulis Skrip Drama TV Popular di RTM,TV3,TV9 dan Astro yang menggunakan nama samaran MF. Kencana merupakan anak kelahiran Kulai Kota Tinggi Johor. Beliau pernah menghasilkan Skrip Drama TV seperti ‘ Bedah Tong Gas (TV3) Beruk Tok Ayah (RTM) Keluarga XXXL ( TV9) dan Bibik Bibikku (TV3).

UKKWA berjaya mencapai sasaran seramai seratus orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum terutamanya dalam kalangan pelajar UTHM. Penganjuran ini juga turut menggalakkan penglibatan pelajar bukan melayu mencintai Bahasa Kebangsaan.

Program ini akan diteruskan dengan Bengkel Lanjutan Penulisan Skrip Drama TV di UTHM .