Batu Pahat – Majlis Profesor Negara (MPN) telah mengadakan Program Advokasi Ilmuwan yang menyentuh mengenai isu hubungan universiti dengan industri dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.

Program ini diadakan adalah bagi membincangk2an isu permasalahan yang dihadapi oleh pihak universiti dan industri dalam menjalinkan kerjasama serta mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut.

Bagi melaksanakan program itu, satu perbincangan meja bulat (RTD) telah diadakan pada 15 Mac baru-baru ini bertempat di kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). RTD tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose. Turut hadir Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly, ahli-ahli MPN yang terdiri daripada Profesor-profesor dari beberapa pelbagai bidang, wakil dari Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan juga wakil dari pihak industri.

Bagi melengkapkan objektif program, MPN dengan kerjasama pihak UTHM, Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara pada 16 Mac bertempat di kampus induk bagi membincangkan isu-isu berkaitan.

Program berbentuk wawancara tersebut melibatkan empat ahli panel iaitu Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, MIGHT, Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman; Ketua Program Sarjana Sains Kejuruteraan Rel UTHM, Profesor Dr. Khalid Hasnan dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur, Prasarana Malaysian Berhad, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin.

Hasil pertemuan dan diskusi yang dilakukan, pihak universiti dan industri telah mengenal pasti beberapa isu dan kekangan yang menghalang hubungan lestari antara kedua belah pihak. Antara isu utama ialah berkaitan sumber dana pembiayaan penyelidikan. Pihak Universiti amat memerlukan dana dari pihak industri untuk menjalankan kajian, manakala pihak industri mempunyai perspektif yang berbeza mengenai produk akhir dan secara dasarnya ia perlu memberikan keuntungan kepada syarikat. Isu seterusnya ialah tentang keboleh-pasaran graduan. Ribuan graduan sukar untuk mendapat pekerjaan dan salah satu faktornya adalah kriteria graduan yang tidak menepati keperluan industri.

Isu seterusnya ialah berkaitan pengkomersilan. Di pihak Universiti pada masa ini terdapat banyak hasil-hasil kajian yang gagal dipaten dan dikomersialkan malah tidak terjual di dalam pasaran. Seolah-olah kajian yang dijalankan adalah tidak selari dengan kehendak semasa industri sedangkan proses R&D cuma menyumbang 10% sahaja di dalam jumlah keseluruhan pembangunan produk. Selebihnya, ia perlu mendapat sokongan dari pihak luar terutamanya pihak industri melalui pemberian dana. Isu yang juga perlu diberi perhatian oleh pihak Universiti dan Industri ialah hanya kurang dari 27% sahaja daripada jumlah keseluruhan lepasan SPM yang mengambil tempat dalam jurusan sains dan teknologi (STEM). Jumlah ini terlalu sedikit dan menjadi isu negara yang perlu diberi tumpuan.

Justeru itu, satu kata sepakat telah dipersetujui oleh pihak universiti dan industri dalam memperkasakan lagi hubungan dua hala ini. Antaranya pihak universiti akan berusaha untuk memudahkan pihak industri membuat capaian terhadap kemudahan serta perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh institut masing-masing agar ianya menepati keperluan mereka. Sehubungan itu, setiap Universiti perlu mempunyai Pejabat Perhubungan Industri untuk memperbaiki dan meningkatkan kerjasama antara Universiti-Industri

Bagi menyemarakkan lagi kolaborasi antara universiti dengan industri, penyaluran dana penyelidikan serta memantapkan latihan industri serta pembangunan Graduan Akademia-Industri (AIGDC) di semua institut pengajian tinggi perlu dilaksanakan secara berterusan. Bagi menggalakkan aktiviti pengkomersilan, pihak Universiti perlu membenarkan stafnya untuk membuka syarikat sendiri supaya jiwa usahawan itu dapat difahami dan diaplikasi dalam pembangunan produk, di samping mengadakan program ‘2u2i’, ‘Gap Year ‘ dan CEO@Faculty bersama pihak industri.

Manakala dalam usaha memastikan graduan yang dilahirkan kelak dapat memenuhi keperluan industri, universiti perlu mengimbangkan komponen teori dan praktikal yang lebih releven dengan operasi sebenar di sektor industri. Sebagai contoh, universiti perlu memberi perhatian khusus dalam mewujudkan “teaching factory” secara praktikal kepada pelajar sebagai persediaan kepada mereka mendalami sesuatu kemahiran sebagai pekerja sebenar. Universiti perlu lebih fokus untuk menghasilkan graduan yang terus boleh bekerja dan berkhidmat untuk industri. 60% ilmu telah diberi di Universiti, manakala 40% perlu diperoleh dari pihak industri.

Keterbukaan dan komitmen yang menyeluruh dan berterusan daripada kedua pihak merupakan formula penting bagi menentukan hubungan kerjasama yang terjalin menjadi semakin mantap dan kukuh. Universiti adalah sebagai penyedia bakat dan akreditasi, industri pula sebagai penyedia pekerjaan manakala peranan pihak kerajaan sebagai badan regulatory dan pihak komuniti sebagai penerima perkhidmatan dan penyokong. Kerjasama ini dinamakan sebagai Quadruple Helix.

Oleh Suriayati Baharom