Pengiktirafan terhadap program akademik adalah perkara penting bukan sahaja kepada Universiti malah kepada semua pemegang taruh yang berkaitan seperti pelajar, ibu bapa dan juga industri. Untuk program akademik kejuruteraan, pengiktirafan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) adalah perlu bagi memastikan jurutera-jurutera yang dilahirkan dapat menjalankan fungsi sebagai seorang jurutera dengan tepat dan berkesan.

Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) terus melakar sejarah apabila program akademik prasiswazah yang ditawarkan di FKEE iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian (BEJ) berjaya mendapat pengiktirafan penuh lima tahun untuk graduan bermula tahun 2014 hingga 2018. Pencapaian cemerlang ini dimaklumkan secara rasmi oleh Pendaftar Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menerusi surat yang diterima pada 17 Januari 2017 lalu.

Menerusi surat tersebut, status interim terdahulu yang diberikan kini adalah digugurkan dan kini program BEJ diberikan pengiktirafan penuh tanpa syarat. Untuk rekod, lawatan oleh pihak Engineering Accreditation Council (EAC) bagi semakan status interim telah dijalankan pada 17 Oktober 2016 lalu dan penilai berpuas hati dengan tindakan dan daya usaha yang diambil oleh pihak FKEE. Kejayaan mendapat pengiktirafan penuh ini adalah suatu yang istimewa kerana bilangan yang berjaya mendapatnya adalah sangat kecil berbanding jumlah Universiti awam, swasta dan kampus cawangan universiti luar negara yang menawarkan program kejuruteraan elektronik di Malaysia hari ini.

Mengulas kejayaan ini, Dekan FKEE Profesor Madya Dr Afandi Ahmad menzahirkan rasa terima kasih kepada mantan Dekan FKEE iaitu Profesor Emeritus Ir Dr. Zainal Abidin Ahmad yang telah menyediakan asas kuat bagi FKEE serta mantan Naib Canselor UTHM iaitu Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, Mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik Antarabangsa), Profesor Dr Hashim Saim dan Timbalan Naib Canselor (Akademik Antarabangsa) kini, Profesor Dr Wahid Razzaly yang memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan dalam membawa FKEE ke peringkat yang lebih tinggi. Kejayaan ini juga adalah hasil sokongan tidak berbelah bagi oleh semua kepimpinan UTHM serta staf di pelbagai pusat tanggungjawab (PTj) lain yang sentiasa memberikan sokongan terbaik.

Di FKEE sendiri, pastinya kepimpinan akademik yang diketuai oleh Timbalan Dekan (Akademik Antarabangsa) FKEE, Dr Rosli Omar bersama pasukannya juga adalah antara resipi kejayaan. Resipi ini digarap menerusi kesinambungan kerja berpasukan semua peringkat merangkumi staf akademik, teknikal dan pentadbiran bersama-sama para pelajar yang sentiasa positif untuk melakukan transformasi.

Kejayaan cemerlang ini diharapkan dapat mengukuhkan jenama FKEE dan UTHM sebagai antara destinasi terbaik untuk melanjutkan pengajian dan pastinya pelbagai lagi usaha berterusan perlu dilakukan. Seiring dengan jenama FKEE iaitu Transformasi Minda diharapkan kejayaan ini akan menyemarakkan keinginan untuk terus melakukan perubahan dan inovasi kepimpinan bagi membentuk ekosistem FKEE yang cemerlang agar terus relevan, dihormati dan dirujuk.