Batu Pahat , 30 September — Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri 2016 yang berlangsung selama lima hari bermula pada 25 hingga 30 September 2016 ini mendapat sambutan luar dugaan apabila berjaya menarik sejumlah 55 pasukan dari dalam dan luar negara yang berlangsung di Square One Shopping Mall, Batu Pahat, Johor.
Kejohanan yang sudah memasuki edisi ketujuh itu mendapat penyertaan cukup memberangsangkan apabila disertai 870 peserta dengan 42 pasukan tempatan dan 13 pasukan luar negara yang sudah berkampung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Menurut Pengarah Kejohanan, Profesor Madya Dr. Mohamad Yusri Aman saingan kali ini berjaya mencapai objektif iaitu untuk mengumpulkan seberapa banyak pasukan di Malaysia dan rantau ini sekali gus mengembalikan kehangatan sukan tempur itu.
“Dengan sambutan dan penyertaan sungguh menggalakkan saya percaya acara ini akan menjadi paltform untuk menarik minat anak muda mengenali seni mempertahankan diri yang amat sinonim dengan pahlawan melayu suatu ketika dahulu,” katanya.
Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan UTHM dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM8,000.00 dan piala. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menamatkan penantiannya untuk menjadi Juara Keseluruhan apabila dinobatkan sebagai juara kategori IPT tempatan. Pasukan Pencak Silat UPSI memenangi tujuh emas, satu Perak dan lima Gangsa daripada 24 Kategori yang di tawarkan pada kali ini.
Sementara itu Pesilat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Maizal Hafizi Mansor dan Faradiba Tugiman dipilih sebagai Pesilat Terbaik Putera dan Puteri pada Majlis Penutupan Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Kali Ke 7 2016 yang disempurnakan oleh Datuk Nik Ali  Mat Yunus, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi.
Jurulatih bagi Pasukan Pencak Silat UPSI, Muhamad Helmi Abd Aziz ketika ditemui turut melahirkan kegembiraannya atas kemenangan tersebut kerana pada peringkat awal dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjadi juara keseluruhan, hanya berharap agar anak didiknya melakukan yang terbaik bagi kejohanan kali ini.
“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk pertandingan kali ini hanya berharap agar anak didik saya melakukan yang terbaik bagi kejohanan kali ini.  Saya bersyukur pesilat saya telah membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik. Selepas ini, kami akan terus giat berlatih untuk pertandingan seterusnya bagi terus mengharukan nama UPSI di persada silat tanah air,” katanya.
Manakala bagi kategori IPT antarangsa telah dimenangi oleh pasukan Malaysia A dengan memungut enam emas, lima perak dan satu gangsa. Muhammad Adri Mohd Sa’ad dari Malaysia A telah dinobatkan sebagai ‘Pesilat Terbaik Putra IPT Antarabangsa’ manakala Nur Amira Izzati Khalid daripada Malaysia B meraih anugerah ‘Pesilat Terbaik Putri IPT Antarabangsa.’