JOHOR BAHRU, 29 November – Kumpulan Keroncong Senandung Rindu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meraih tempat Ketiga dalam Pertandingan Seni Muzik Keroncong sempena Festival Seni Anak Johor yang berlangsung pada 27 November hingga 2 Disember lalu bertempat di Dataran Bandaraya, Johor Bahru.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Johor dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKN). Festival ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khalid Nordin.
Kumpulan keroncong Senandung Rindu di bawah Unit Kebudayaan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar pimpinan Encik Baithan Mohd Salleh ini mendendangkan satu lagu keroncong bebas berjudul “Dingin” dan satu lagu instrumental “Gambang Semarang”. Lagu-lagu tersebut dinyanyikan oleh Puan Anim Zalina Azizan dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) manakala pemuzik kumpulan ini terdiri daripada staf dan pelajar UTHM.
Pertandingan Seni Muzik Keroncong ini diadili oleh juri profesional iaitu Encik Omar Taib, Encik Jaafar Abd Rahman Idris –Djari, Puan Mariam Ahmad, Encik Shafiee Obe dan Encik Ismail Bahri dari Yayasan Warisan Johor selaku ketua juri. Hadiah kemenangan telah disampaikan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Dato’ Othman Jais. Turut hadir, Pengarah Yayasan Negeri Johor, Encik Mohd Syukri Mohd Masbah.
Tempat pertama diraih oleh Kumpulan Keroncong Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Kumpulan Keroncong Majlis Perbandaran Pontian pula mendapat tempat kedua. Manakala hadiah saguhati turut diberikan kepada kumpulan lain yang bertanding.

Source: UTHM raih tempat ketiga dalam Pertandingan Seni Muzik Keroncong – Festival Seni Anak Johor 2015