Coex, Korea, 29 Nov 2015 – Hasil penyelidikan dan Inovasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan kejayaan memperolehi dua anugerah khas, tujuh pingat Emas, lima pingat Perak dan 1 pingat Gangsa dalam pertandingan Penyelidikan dan Inovasi di Seoul International Invention Fair 2015 (SIIF’15) yang berlangsung pada 25 hingga 29 November  lalu di Hall C,Coex, Seoul Korea.

UTHM telah meraih dua anugerah khas yang dimenangi oleh Mohd Badli Ramli mewakili ketua projek Prof. Madya Dr. Saidin Wahad dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dan Profesor Madya Dr. Abd. Mutalib Leman dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan menerima anugerah Jerman HAG Award. Manakala tujuh pingat emas diperolehi melalui hasil penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rozaini Roslan, Dr. Kamarudin Ambak,  Dr. Noor Yasmin Zainun,  Prof. Madya Dr. Saidin Wahab (Pembentang: Saudara Mohd Badli Ramli), Dr. Saiful Azhar Ahmad Tajudin (Pembentang: Prof. Madya. Dr. Mohd Ezree Abdullah), Dr. Norshuhaila Mohamed Sunar (Pembentang: Prof. Madya. Dr. Mohd Ezree Abdullah), Prof. Madya Hasan Zuhudi Abdullah (Pembentang:En Muhammad Fakri Othman).

Lebih dari 723 produk hasil penyelidikan dan inovasi telah menyertai pertandingan ini dan melibatkan peserta-peserta daripada 32 negara seperti seperti Iran, Thailand, Poland, Russia, Taiwan, Vietnam, Arab Saudi, Filipina, China, Hong Kong dan lain-lain.

Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi ini telah diadili oleh panel-panel hakim daripada negara luar selain agensi yang menilai melalui beberapa aspek seperti keaslian idea, pembaharuan dan inovasi yang dilakukan, sumbangan kepada masyarakat serta potensi untuk dikomersilkan.

Pameran ini telah menjadi medium bagi membantu para penyelidik untuk mewujudkan kerjasama dan hubungan dengan pihak luar bagi membantu mengkomersilkan penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan. Maklumbalas yang diterima serta hasrat dan minat yang ditunjukkan oleh semua pihak untuk kerjasama pengkomersilan diharapkan dapat meningkatkan hasil pengkomersilan UTHM.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penyelidik yang berjaya mencapai kejayaan dalam SIIF 2015 serta semua pihak yang turut sama membantu menjayakan pertandingan ini. ~ Technically Above The Rest

Source: UTHM Raih 15 Pingat dan Anugerah Khas Di Seoul International Invention Fair 2015 (SIIF’15)