Hasil penyelidikan dan Inovasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa pulang empat pingat emas, lima pingat perak dan tiga pingat gangsa dalam Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajiaan Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2015) yang berlangsung pada 04 hingga 06 Disember lalu bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Sebanyak 15 produk UTHM telah dipertandingkan dalam program dwi tahunan ini dan telah meraih empat pingat emas melalui hasil penyelidikan oleh Profesor Dr. Yusri Yusof dengan produk New Open CNC controller based on ISO 14649 and 6983, Profesor Madya Dr. Aeslina Abdul Kadir dengan produk Mosaic Sludge Brick (MSB) dan melalui hasil penyelidikan Dr. Azrin Hani Abdul Rashid, Co-KEV protective panel serta Dr. Noor Yasmin Zainun, Solid Waste Illegal Dumping Web  (SWID WEB).

Lebih membanggakan, produk UTHM turut berjaya meraih anugerah UNMC ICT Innovation Award melalui ciptaan dan inovasi Dr. Noor Yasmin Zainun daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS). Pemenang berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM10, 000.00.

PECIPTA 2015 yang merupakan penganjuran kali kelapan ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 06 Disember lalu. Pertandingan pada kali ini telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ‘Kategori Terbuka’, ‘Kategori Pengkomersilan’ dan ‘Kategori Penyelidik Muda’ telah menarik minat hampir 500 penyertaan produk penyelidikan dan inovasi dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Penglibatan UTHM dalam program ini jelas membawa impak yang besar kepada para penyelidik apabila pameran ini telah menjadi medium bagi membantu para penyelidik untuk mewujudkan kerjasama dan hubungan dengan pihak industri bagi membantu mengkomersilkan hasil penyelidikan dan inovasi masing-masing. Maklum balas yang diterima serta hasrat dan minat yang ditunjukkan oleh industri untuk kerjasama pengkomersilan diharapkan akan dapat meningkatkan hasil pengkomersilan UTHM.

Source: UTHM bawa pulang 12 Pingat dalam PECIPTA 2015