Seiring dengan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi (PPPM-PT) ke arah melahirkan graduan holistik, seimbang dan berciri keusahawanan, peranan kolej kediaman dalam usaha merealisasikan lonjakan ini wajar dihargai.

Bagi tujuan pengiktirafan kepada usaha murni ini, Majlis Pengetua, Kolej-kolej Kediaman dengan kerjasama Kolej Kediaman Tun Fatimah (KKTF) yang bertindak sebagai urusetia telah menganjurkan Anugerah Kolej Kediaman (AKK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2015 pada 19 Disember lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail (DTMI). Majlis penuh makna ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat.

Meneruskan tradisi kecemerlangan, Kolej Perwira buat kali kedua berturut-turut dinobatkan sebagai Kolej Kediaman Cemerlang 2015 yang membawa pulang piala pusingan bersama wang tunai berjumlah RM500. Kejayaan ini turut diserikan dengan penerimaan Anugerah Program Berimpak Tinggi 2015 dengan hadiah wang tunai RM300 menerusi aktiviti “Larian Amal Pantai Timur” yang berjaya mengumpul sejumlah dana bagi tujuan membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Menurut Pengetua Kolej Perwira, kejayaan ini pastinya adalah hasil usaha penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) yang dilakukan oleh segenap barisan kepimpinan dan warga Kolej Perwira.

“Semoga iltizam Kolej Perwira untuk terus “Memperkukuh Kecemerlangan Merealisasikan Impian” sebagai Pusat Pembelajaran Kedua menjadi kenyataan seiring dengan misi dan visi UTHM,” katanya.

Source: Kolej Perwira raih anugerah Kolej Kediaman Cemerlang UTHM 2015