13 pingat berjaya dibawa pulang oleh Kontinjen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)  ketika menyertai Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2015 yang berlangsung pada 27 Julai hingga 7 Ogos lalu bertempat Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
UTHM telah mempertaruhkan kontingen dengan kekuatan  189 atlit dan 23 pegawai menerusi 11 acara sukan yang dipertandingkan. Daripada 13 pingat tersebut, kontingen UTHM meraih dua emas, dua perak dan sembilan gangsa. Pingat emas telah disumbangkan melalui acara Karate 60kg Kumite oleh atlit Sugendran a/l  Suparamaniam diikuti kemenangan lain dengan memperoleh satu perak dan tiga gangsa melalui acara sukan yang sama.
Sementara itu pasukan Pencak Silat juga turut menyumbangkan satu emas dan satu perak. Mohd Faizul Mustapa menyumbangkan emas melalui acara silat olahraga kelas J. Enam lagi pingat gangsa diperoleh menerusi sukan taekwondo, sepak takraw , sofbol lelaki dan wanita.
Karnival Sukan MASUM ini merupakan platform terbaik atlit dari universiti awam (UA) untuk bersaing di peringkat universiti dan sebagai persiapan untuk menghadapi sukan institusi pengajian tinggi (SUKIPT) 2016. Penglibatan atlit ini sekaligus berjaya merealisasikan misi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan ‘the thinking athlete’.

Source: UTHM bawa pulang 13 pingat di Karnival MASUM 2015