Batu Pahat, 22 Jun – Bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan 1436 Hijrah, Jabatan Pengurusan dan Teknologi (JPT), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menzahirkan keprihatinan masing-masing dengan menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Bantuan Miskin Tegar pada 16 dan 17 Jun 2015 yang lalu.
Seramai 22 orang STAF JPT dan seorang pelajar telah terlibat di dalam program ini dan juga merupakan penyumbang utama termasuk Dekan FPTP, Profesor Madya Sr Dr. David Martin @ Daud Juanil. Jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM2128.00.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi bantuan kepada penduduk miskin tegar sekitar Parit Raja, Tongkang Pecah dan Batu Pahat berupa barangan keperluan dapur, selain ingin meringan beban kemiskinan yang ditanggung oleh penduduk miskin tegar agar mereka dapat melaksanakan ibadah puasa dalam keadaan yang selesa.
Pelaksanaan program ini juga bagi merai dan memberikan sedikit kegembiraan kepada penduduk miskin tegar untuk bersama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadhan serta melahirkan hubungan yang baik dan muafakat dalam kalangan staf dan juga masyarakat setempat.
Program ini juga adalah untuk memenuhi amanah dan wasiat salah seorang staf JPT yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 Mei 2015 yang lalu iaitu Tuan Haji Abdul Ghafar bin Abdul Rahman. Sebanyak 10 buah keluarga sasaran yang menetap di kawasan Parit Raja, Tongkang Pecah dan Batu Pahat telah dikenal pasti sebagai keluarga miskin tegar. Setiap satu keluarga telah menerima sebakul barang-barang berupa makanan seperti beras, gula, susu, garam, kopi, biskut, bawang, kurma dan kuih raya.
Staf JPT telah dibentuk kepada lima kumpulan formasi untuk melaksanakan misi bantuan ini. Setiap kumpulan diberikan alamat kediaman dua buah keluarga miskin tegar dan dibentuk untuk memudahkan pergerakan dan pemberian sumbangan. Walau, bagaimanapun, pada tarikh yang ditetapkan, staf JPT telah bersetuju untuk bergerak secara serentak dan berkonvoi kereta. Keadaan ini telah mewujudkan suasana yang lebih meriah dan meningkat ukhwah kemesraan dan kerja berpasukan dalam kalangan staf JPT.
Adalah diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua staf dan pelajar JPT khususnya dan juga staf FPTP serta seluruh warga UTHM. Pihak JPT mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dan berharap dapat meneruskan aktiviti ini sebagai aktiviti tahunan bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan pada tahun-tahun akan datang.

Source: FPTP bantu golongan miskin tegar sempena kedatangan Ramadan