Empat kumpulan pelajar, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memonopoli anugerah-anugerah yang ditawarkan dalam Pertandingan Peringkat Akhir Kemuncak Nasional MyInovasi 2014 yang diadakan pada 16 Disember lalu bertempat di Dewan Seri Melati, Putrajaya.
Daripada seramai 1,250 penyertaan, UTHM menjadi universiti kedua teramai terpilih untuk menjadi salah satu daripada 50 Pemenang Peringkat Zon yang layak ke Kemuncak Nasional.
Empat kumpulan pelajar telah terpilih melalui projek Self-lifted Stand For Motorcycle Safety (SMARTS), Mesin Penanggal Sisik Ikan, Mesin Pemisah Kulit Nipis Kelapa dan Penggunaan Abu Kelapa Sawit sebagai Pigmen Warna Cat yang diselia oleh Dr. Mohd Fahrul Hassan, Dr. Kamarudin Ambak, Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor dan Dr. Sia Chee Kiong. Setiap kumpulan telah membawa pulang wang sebanyak RM5,000 pada pertandingan peringkat Zon pada bulan Oktober yang lalu.
Dalam pertandingan Kemuncak Nasional MyInovasi2014, projek SMARTS yang telah diselia bersama oleh Dr. Kamarudin Ambak dari Smart Driving Research Center (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) dan Dr. Mohd Fahrul Hassan dari Engineering Design Research Group (EDRG) FKMP telah berjaya memenangi anugerah Juara Keseluruhan dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.
UTHM juga berjaya memperolehi satu anugerah Bantuan Paten sebanyak RM10,000 melalui projek Mesin Penanggal Sisik Ikan, dan dua anugerah saguhati sebanyak RM1,500 setiap kumpulan melalui projek Mesin Penanggal Sisik Ikan dan Mesin Pemisah Kulit Nipis Kelapa yang menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai yang dimenangi UTHM dalam MyInovasi2014 ialah sebanyak RM83,000.
Menurut Ketua Kumpulan Penyelidikan EDRG, Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor, projek-projek ini telah bermula dengan program Innovators yang dibiayai sebahagiannya di bawah Dana Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), yang mana setiap projek yang dijalankan oleh pelajar haruslah bekerjasama dengan atau melibatkan pihak industri. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan daya inovasi pelajar melalui penyelesaian masalah sebenar industri sekaligus membantu usaha kerajaan untuk membudayakan inovasi dalam kalangan masyarakat.
Projek inovasi ini dibantu dengan kerjasama erat oleh Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Perundingan dan Pengkomersialan (ORICC) UTHM dan Dekan ORICC, Profesor Ayob Haji Johari telah sama-sama hadir mewakili UTHM dalam sesi penyampaian hadiah. Pihak ORICC telah menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian ini dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menaikkan nama UTHM dalam bidang inovasi terutamanya pelajar dan penyelia terlibat serta Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar yang sentiasa proaktif dalam projek inovasi di UTHM. Ekosistem yang wujud di antara penyelidik, pelajar dan masyarakat harus sentiasa disemai dan dikembangkan agar usaha kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang mampu mencipta teknologi menjelang tahun 2020 tercapai.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin ketika ditemui selepas majlis menyatakan rasa gembiranya dengan pencapaian tersebut dan ianya adalah selari dengan penilaian QS Rating yang memberikan pencapaian lima bintang dalam kategori Inovasi kepada UTHM. Ini membuktikan bahawa pengiktirafan tersebut benar-benar bertepatan dan bersesuaian dengan usaha UTHM dalam meningkat dan membudayakan inovasi dalam segenap aspek kehidupan masyarakat.

Source: UTHM monopoli anugerah di MyInovasi 2014