Ketua Delegasi Universitas Gadjah Mada (UGM) Indonesia, Profesor Dr. Suratman menyerahkan alat muzik ‘Angklung’ kepada Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin ketika mengadakan lawatan selama empat hari ke kampus ini pada 10 hingga 13 Oktober lalu.
Penyerahan alat muzik tersebut adalah sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua institusi ini terutama dalam bidang kebudayaan. Kunjungan delegasi yang terdiri daripada isteri-isteri pegawai UGM atau lebih dikenali sebagai kumpulan DERMAWAN ini mencatat sejarah tersendiri apabila mereka mengadakan persembahan tarian dan persembahan angklung pada Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen UTHM kali ke-14 (FESKON2014).
Kunjungan pertama delegasi DERMAWAN ini telah memberi ruang kepada pelajar-pelajar UTHM mempelajari budaya masyarakat di Indonesia sekaligus mengeratkan lagi hubungan dua buah negara ini melalui bidang kebudayaan. Pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang lawatan tersebut antaranya Bengkel Tarian, Bengkel Alat Muzik Angklung serta Bengkel Kursus Kerja Nyata (KKN). Bengkel-bengkel ini mendapat penyertaan daripada pelajar-pelajar kokurikulum kursus Senitari Tradisi dan Kreatif, Muzik Moden dan Khidmat Komuniti.
Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh melahirkan rasa terima kasihnya kepada delegasi UGM kerana memilih UTHM sebagai destinasi untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan. Beliau dalam ucapannya berharap kunjungan ini akan disusuli dengan pelbagai program yang dirancang secara bersama, demi mengeratkan lagi hubungan antara dua buah universiti ini.
angklung_300x200_4ce6165248233f99e870fbb87d29efe5