Kota Kinabalu, 7 Disember – Pasukan Debat Bahasa Melayu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mempamerkan kecemerlangan dalam arena perdebatan peringkat Institusi Pengajian Tinggi apabila berjaya merangkul gelaran Naib Juara buat kali ketiga dalam Pertandingan Debat Piala Diraja kali ke-16 yang di adakan di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Sebelum ini pasukan ini juga pernah mencatat sejarah apabila berjaya meraih gelaran naib johan dalam pertandingan yang sama yang diadakan pada tahun 2009 dan 2010. Pasukan UTHM diwakili oleh Amirul Faiz Abdul Latif, Mohd Hasrul Effendi Muhd Salleh, Adhwa Amsyar Syazwan Abd Majid dan Ahmad Sawal Ithnin yang bertindak selaku pembangkang memperdebatkan usul “Patriotisme Adalah Warisan Sejarah.”

Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM3000 beserta piala iringan dan sijil penghargaan. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, YAB Tun Dato’ Panglima Juhar Maharuddin.

Menyedari seni berfikir dan berucap ini mampu memberi impak besar dalam memperkembangkan nilai perpaduan selain berupaya mengumpul idea bernas dan segar, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Sabah telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan debat ini buat kali ke 16.

Pertandingan ini menggunakan format “Asian Parliamentary” iaitu melibatkan dua pasukan terdiri daripada empat orang pendebat yang memainkan peranan sebagai Kerajaan dan Pembangkang. Pertandingan berprestij ini juga berjaya menarik penyertaan sebanyak 20 pasukan debat bagi kategori Muda, manakala 22 pasukan kategori Utama mewakili 22 buah IPT seluruh negara dengan memperdebatkan lapan usul yang telah ditetapkan.

Persediaan dan usaha keras yang dilakukan sebelum pertandingan ini banyak membantu pasukan debat UTHM untuk mara ke peringkat akhir. Mereka berjaya menewaskan pasukan debat Universiti Teknologi Mara (UiTM) di peringkat suku akhir dan separuh akhir, sebelum bertemu dengan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat akhir. Pertandingan pada kali ini menyaksikan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merangkul gelaran Juara, dan para pesertanya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5000, piala iringan beserta sijil penghargaan.