Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya memperolehi lima pingat emas, sembilan pingat Perak dan satu pingat Gangsa dalam 25th International Invention, innovation & Techhnology Exhibition (ITEX) 2014 berlangsung pada 08 hingga 10 Mei 2014 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Program yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ini telah mendapat penyertaan hampir 500 produk hasil penyelidikan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan pelbagai agensi dari luar dan dalam negara. UTHM pada kali ini telah membawa sebanyak 15 produk untuk dipertandingkan dalam pameran bertaraf antarabangsa ini.

Daripada lima pingat emas yang diperolehi, sebanyak tiga pingat emas telah dimonopoli oleh Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS). Lebih membanggakan lagi apabila produk hasil penyelidikan Dr. Saiful Azhar Ahmad Tajuddin iaitu Inovative Technique to Remediate The Barren Acidic Slope Using In-Situ Electrokinetic Remediation (i-EKR) juga telah memenangi Anugerah Khas dari Association of Young Innavators and Scientists Indonesia (AYISI).

Penyertaan UTHM dalam pameran seumpama ini memberi impak yang besar kepada penyelidik. Program ini bertindak sebagai medium untuk mewujudkan hubungan dan kerjasama dengan pihak industri dalam mengkomersilkan hasil penyelidikan dan inovasi. Hasrat, minat dan maklumbalas yang ditunjukkan oleh industri untuk kerjasama pengkomersilan diharapkan dapat meningkatkan lagi hasil pengkomersilan UTHM.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penyelidik yang berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam 25th International Invention, Innovation & Techhnology Exhibition (ITEX) 2014.

itex 2014