Seramai 612 orang pelajar baharu program Sarjana Muda bagi kemasukan semester II, 2013/2014  dari pelbagai program pengajian mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 11 Februari lalu. Daripada jumlah tersebut, seramai 323 orang terdiri daripada pelajar perempuan manakala 289 orang lagi terdiri daripada pelajar lelaki. Jumlah ini dijangka akan bertambah dari masa ke semasa sepanjang seminggu proses pendaftaran berlangsung.
UTHM telah menawarkan lebih 700 tempat untuk sesi kemasukan kali ini dan melibatkan tujuh program pengajian peringkat ijazah iaitu Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan. Kesemua program ini bukan sahaja diiktiraf oleh kerajaan malah mempunyai kekuatan Kurikulum yang memenuhi syarat dan kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin turut merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu semasa berlangsungnya Majlis Bersama Kepimpinan Universiti yang diadakan pada hari yang sama bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail. Beliau dalam ucapannya mengingatkan para pelajar tersebut agar tidak lupa akan tanggungjawab masing-masing sebagai mahasiswa institut pengajian tinggi dan sentiasa menyimpan azam untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi.
Kesemua pelajar baharu tersebut diwajibkan menyertai program Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadual berlangsung selama empat hari bermula dari 11 hingga 14 Februari ini. Program MHS ini merupakan suatu proses transisi yang dialami oleh pelajar-pelajar baharu UTHM bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar baharu tentang latar belakang universiti seperti struktur organisasi, pentadbiran, prasarana, peraturan, disiplin, budaya serta corak hidup persekitaran universiti.
Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa, keluarga serta pelbagai individu dan organisasi yang memberi bantuan dan sokongan kepada pelajar-pelajar ini melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di UTHM.