Kota Iskandar, Nusajaya – Seramai 25 ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) dan pada hari yang sama turut mengikuti Amanat Menteri Besar Johor pada 13 Februari lalu.
Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Sahizan Mohd Sagi bertujuan untuk bertukar-tukar pengalaman dan pendapat mengenai pelaksanaan program AKRAB di jabatan serta melihat ruang dan peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama antara AKRAB UTHM dn AKRAB SUKJ.
Rombongan dari UTHM disambut meriah oleh barisan pimpinan AKRAB SUKJ yang diketuai oleh Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; Encik Abd Razak Khalid dan juga Presiden AKRAB SUKJ Encik Azizi Reza. Perjumpaan selama beberapa jam itu diisi dengan sesi pembentangan aktiviti AKRAB untuk perkongsian bersama. Ahli rombongan turut dibawa melawat sekitar pejabat Sumber Manusia SUKJ dan juga sekitar kawasan Kota Iskandar sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderamata dari kedua-dua pihak.
Kesemua ahli rombongan turut mewakili UTHM untuk hadir mendengar amanat dari Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang berlangsung selama satu jam pada hari yang sama.
Lawatan kerja Ke SUKJ ini sememangnya banyak memberi pendedahan baharu kepada ahli AKRAB. Semoga Pimpinan AKRAB yang telah mengikuti lawatan kerja ini akan dapat mengambil pengalaman ini untuk diimplementasi di UTHM.