Baru-baru ini pasukan tarian dari Kelab Warisan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membawa dua buah tarian ke Festival Tari SAKTI Piala Tun Dr. Siti Hasmah 2013 bertempat di Multimedia Universiti Cyberjaya yang dianjurkan oleh Stage Arts Of Tradisional Malay Group (SAKTI). Pasukan ini telah dibimbing oleh En. Rosdi Abdullah, Artis Budaya UTHM.

Pertandingan ini turut disertai oleh tujuh buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan setiap pasukan telah membawa dua buah persembahan tarian iaitu asli dan kreatif. Tarian asli yang dipersembahkan oleh pasukan UTHM telah menampilkan gerak tari inang, joget dan zapin. Satu lagi tarian yang dibawa ialah tarian kreatif bertajuk Rama Sita. Koreografi ini menceritakan tentang perjalanan kisah Ramayana dan Sita Dewi dalam hikayat dongeng yang selalu dipaparkan dalam persembahan Wayang Kulit. Koreografi tari kreatif Rama Sita ini di ilhamkan dari bentuk tari Makyong dan bentuk Wayang Kulit Rama Sita telah ditarikan oleh penari – penari Kelab Warisan Unit Kebudayaan UTHM seramai 16 orang.

Pada malam tersebut pasukan UTHM telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dengan menggondol sebuah trofi beserta wang tunai dan hamper manakala tempat kedua pula disandang oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta juaranya ialah dari UiTM Shah Alam. Amat membanggakan sekali apabila pasukan UTHM telah berjaya menempatkan pasukan sebaris dengan IPT yang mempunyai pelajar dari fakulti seni persembahan, walaupun peserta dari UTHM terdiri daripada pelajar kejuruteraan tetapi mereka tetap memberi saingan sengit kepada para peserta lain dan dapat menewaskan empat kumpulan dari IPT lain yang turut membuat persembahan yang hebat.

festival-tari-sakti-2013

 

Dikeluarkan oleh:

SHAFRY BIN SALIM

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat
Pejabat Naib Canselor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia