Bersempena Konvokesyen Ke-13 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin telah menyempurnakan majlis perasmian Pesta Konvokesyen yang diadakan pada 2 Oktober baru-baru ni bertempat di Padang Kawad, UTHM.
Majlis Perasmian yang dimeriahkan dengan persembahan hebat kumpulan pancaragam dari Batalion Ke-10 RAMD Kem Majidee, Johor Bahru dan pertunjukan bunga api itu telah berjaya menarik ramai pengunjung untuk datang memenuhkan tapak pesta pada malam tersebut. Semasa berlangsungnya majlis itu, Pengerusi Pesta Konvokesyen Ke-13, Profesor Madya Dr. Ahmad Rizal Madar telah menyerahkan kutipan sumbangan Tabung Pesta Konvokesyen kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim untuk digunakan bagi tujuan kebajikan.
Berbeza daripada tahun sebelumnya, Pesta Konvokesyen kali ini berlangsung selama 7 hari  dan dimeriahkan dengan pelbagai acara bermula dari 1 hingga 7 Oktober. Selain untuk memeriahkan suasana konvokesyen, pesta ini diadakan bertujuan meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
Menurut Profesor Madya Dr. Ahmad Rizal, pelbagai pengisian telah dirancang dan dilaksanakan sepanjang tempoh pesta tersebut berlangsung. Antaranya ialah pembukaan kira-kira 400 gerai yang merupakan gerai paling banyak pernah disediakan oleh penganjur. Kunjungan paling ramai dicatatkan semasa slot tayangan skrin besar perlawanan bola sepak Piala Malaysia di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan pada malam kelima pesta.
Menurut beliau lagi, pelbagai pertandingan turut diadakan antaranya pertandingan penulisan kreatif, videografi, fotografi, memasak, mewarna dan juga futsal. Aktiviti lain termasuklah slot ceramah ‘Mesir Berdarah’, Qasidah daripada pelajar Madrasah Tahfiz Medik Kluang, Tayangan sempena Hari Malaysia, pameran daripada agensi luar dan swasta serta program bersama Rakan Muda Belia Kampus, MAKNA dan Kanak-Kanak Istimewa. Turut diadakan program berbentuk kesukanan dan kesihatan seperti slot khas Bersama Bintang Sukan: Anuar Manan dan Razif Salleh, Fun Ride@kayuhan lawatan UTHM dan MTB Time Trial, Senamrobik dan program Healthy Talk “Pemakanan Sihat oleh Redza Benjamin.”
Sementara itu program berbentuk hiburan dan persembahan bakat juga turut tersenarai bagi memeriahkan lagi pesta konvokesyen kali ini. ‘Konsert Mini’ dan ‘Malam Kebudayaan Pelajar’  tersedia untuk menghiburkan pengunjung yang datang di samping memberi peluang kepada pesertanya  mempamerkan bakat dalam bidang nyanyian, lakonan mahupun tarian.
Sambutan yang menggalakkan setiap tahun daripada warga universiti dan masyarakat setempat telah mendorong jawatankuasa penganjurannya untuk terus komited menjadikan pesta ini sebagai program tahunan yang ‘harus’ dilaksanakan.
pesta konvo 1
pesta konvo 2