ijazah kehormat tan sri jamilus20 Okt – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Teknologi Kejuruteraan) kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus Md Hussin ketika berlangsungnya sidang satu, Istiadat Konvokesyen UTHM ke-18.

Anugerah yang disampaikan oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Canselor UTHM ini adalah bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam industri, komuniti dan kepimpinan, teknologi dan inovasi serta dunia pendidikan tinggi.

Pemegang ijazah sarjana bidang geoteknologi dari State University of New York ini kini menjawat jawatan Pengerusi KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd. setelah bersara sebagai Pengarah Bahagian Jalan Raya di Kementerian Kerja Raya (KKR) pada tahun 1992.

Pada masa yang sama, beliau menjadi pelopor utama industri pembinaan di negara ini dengan memegang beberapa jawatan penting antaranya seperti Pengerusi, Construction Industry Development Board (CIDB) dan Pengerusi, G&P Professionals Sdn. Bhd.

Anak kelahiran Singapura ini merupakan seorang tokoh yang berpengalaman selama lebih 40 tahun dalam bidang reka bentuk, pembinaan dan pengurusan bangunan serta projek infrastruktur. Salah satu pencapaian cemerlang beliau adalah mengetuai pasukan jurutera untuk membina Kuala Lumpur International Airport (KLIA) iaitu salah sebuah lapangan terbang terbaik di dunia yang sehingga kini menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Beliau sinonim dikenali sebagai ‘The Man Who Built the Airport’.

Walaupun sibuk sebagai Pengarah Urusan di KLIA Berhad, Jamilus turut mencurahkan kepakarannya dengan menjadi Profesor Adjung di beberapa buah universiti di negara ini antaranya UUM, UniMAP, UTM, UKM dan KLIUC serta berperanan sebagai Panel Penasihat Universiti-Industri untuk UMK.

Selain daripada itu, beliau juga merupakan individu yang telah mengetengahkan beberapa jawatankuasa yang mengawal selia industri pembinaan di Malaysia seperti Industrial Building System (2002-2006), Construction Industry Development Board (CIDB) Malaysia dan Institution of Project Management Malaysia.

Sebagai menghargai sumbangan yang telah diberikan, beliau dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 1998 yang membawa gelaran Tan Sri dan turut menerima beberapa lagi anugerah lain.