Kemajuan teknologi yang pesat telah mengubah landskap industri dan pasaran buruh secara global. Dari revolusi industri abad ke-19 hingga ke era digital dan automasi kini, setiap inovasi teknologi ini telah membawa perubahan besar kepada ekonomi dan masyarakat. Kehadiran teknologi moden seperti platform digital dan automasi mencipta peluang untuk meningkatkan fleksibiliti dan kecekapan kerja. Namun, ia juga menimbulkan cabaran baharu seperti polarisasi pekerjaan, ketidakpadanan kemahiran dan jurang bakat teknologi. Implikasi daripada perubahan ini memberi kesan terhadap pasaran buruh di Malaysia serta strategi perlu dirancang untuk mendepani cabaran ini.
Kemajuan teknologi dan polarisasi pekerjaan
Kemajuan teknologi telah membawa kepada fenomena polarisasi pekerjaan yang semakin ketara di Malaysia, yang mana pekerjaan separuh mahir yang bersifat rutin seperti dalam sektor pembuatan dan perkeranian mengalami kemerosotan akibat automasi. Di dalam tempoh dua dekad yang lalu, statistik menunjukkan penurunan pekerjaan separuh mahir, manakala pekerjaan berkemahiran tinggi dan rendah meningkat. Keadaan ini memperburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan, yang mana pekerja berkemahiran tinggi menikmati peluang lebih menguntungkan, sementara pekerjaan berkemahiran rendah sering kali bergaji rendah tanpa banyak peluang untuk peningkatan kerjaya. Polarisasi ini juga menyumbang kepada stratifikasi sosial dan mewujudkan jurang yang semakin ketara dalam pasaran buruh.
Kekurangan bakat teknologi
Kekurangan bakat teknologi telah menjadi isu global yang membimbangkan. Menjelang 2030, dianggarkan terdapat 82 juta pekerjaan yang tidak dapat diisi akibat kekurangan profesional berkemahiran tinggi dalam teknologi seperti kecerdasan buatan, keselamatan siber dan sains data. Di Malaysia, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menunjukkan permintaan tinggi terhadap bakat berkemahiran tinggi, namun bekalan bakat tempatan masih tidak mencukupi.
Laporan TalentCorp menekankan bahawa pekerjaan dalam sektor ICT dianggap kritikal, tetapi pengeluaran graduan teknologi belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran dan memenuhi permintaan padanan kemahiran. Ketiadaan tenaga kerja mahir dalam sektor ini membatasi potensi Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa, justeru itu lonjakan reformasi dalam sistem pendidikan dan latihan amat diperlukan.
Jurang kemahiran dan ketidakpadanan di Malaysia
Jurang kemahiran dan ketidakpadanan antara pendidikan dan keperluan pasaran kerja adalah masalah kritikal di Malaysia. Kajian Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati terdapat graduan bekerja dalam jawatan yang tidak memerlukan kelayakan mereka, ini menandakan ketidakcekapan dalam pasaran buruh telah berlaku. Graduan dalam bidang sains sosial, perniagaan dan undang-undang sering menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi, sementara sektor kritikal seperti kejuruteraan dan teknologi mengalami kekurangan tenaga kerja.
Ketidakselarasan antara kurikulum pendidikan dan keperluan industri memperburukan lagi keadaan ini. Perubahan radikal dalam pendidikan, termasuk penekanan pada kemahiran praktikal dan pembelajaran sepanjang hayat, diperlukan untuk memastikan graduan lebih bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja.
Ancaman automasi terhadap pekerjaan
Automasi telah menjadi ancaman besar kepada pekerjaan rutin berulang, terutama dalam sektor pembuatan, kerja perkeranian dan perkhidmatan. Kajian menunjukkan bahawa dikhuatiri pekerjaan sebegini di Malaysia mungkin terjejas dalam dua dekad akan datang dalam skala yang agak membimbangkan. Automasi lebih banyak menggantikan pekerjaan separuh mahir, yang kebanyakannya dipegang oleh pekerja tempatan berstatus warganegara, tetapi pekerja warga asing dalam pekerjaan berkemahiran rendah juga berisiko tinggi. Ini disebabkan peningkatan yang agak ketara dalam proses kerja secara automasi. Kesan automasi terhadap pengangguran dan ketidakstabilan sosial tidak boleh diabaikan. Ketidakseimbangan ini memerlukan perhatian untuk memastikan kesan teknologi dapat diuruskan secara saksama, tanpa meninggalkan kumpulan rentan.
Penyelesaian: Menyesuaikan diri dengan teknologi
Menangani cabaran teknologi dalam pasaran buruh memerlukan strategi inklusif yang melibatkan semua pihak. Penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat adalah kunci untuk memastikan tenaga kerja kekal relevan. Kerajaan dan institusi pendidikan perlu membangunkan sistem yang menyokong latihan berterusan, yang mana pembelajaran tidak terhad kepada fasa awal kehidupan. Selain itu, akses kepada program peningkatan kemahiran mesti diperluas tanpa bergantung kepada majikan. Contohnya, subsidi atau baucar latihan boleh disediakan terus kepada pekerja untuk memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan tuntutan sektor baharu. Ini penting, khususnya untuk pekerja bebas yang tidak terikat dengan majikan tetap.
Malaysia perlu merangka strategi yang inklusif dan inovatif. Antaranya, pelaburan dalam pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta program latihan semula perlu dipertingkatkan untuk membolehkan tenaga kerja memperoleh kemahiran yang relevan, terutamanya dalam bidang digital dan teknologi. Selain itu, dasar perlindungan sosial seperti faedah pengangguran dan bantuan mencari pekerjaan perlu diperkuat untuk menyokong golongan pekerja yang terkesan oleh automasi. Usaha menggalakkan keusahawanan juga penting, dengan memberikan sokongan kewangan, akses kepada pasaran dan teknologi bagi membantu usahawan mikro dan kecil mencipta peluang pekerjaan baharu.
Di samping itu, transformasi ekonomi digital perlu dilakukan secara inklusif dengan memastikan akses kepada teknologi dan internet dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar. Akhir sekali, pemantauan berterusan terhadap perubahan dalam pasaran buruh amat diperlukan untuk merangka dasar yang responsif dan relevan. Melalui pendekatan menyeluruh ini, Malaysia bukan sahaja dapat mengurangkan ketidakseimbangan struktur pekerjaan tetapi juga memanfaatkan teknologi secara efektif untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Kesimpulannya, kemajuan teknologi telah membawa transformasi mendalam kepada pasaran buruh Malaysia, ia menawarkan peluang besar tetapi juga mewujudkan cabaran yang kompleks. Polarisasi pekerjaan, kekurangan bakat teknologi dan ketidakpadanan kemahiran adalah antara isu kritikal yang perlu ditangani untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Malaysia perlu memperkuat ekosistem pendidikan, latihan dan sokongan tenaga kerja untuk menghadapi perubahan ini. Melalui pembelajaran sepanjang hayat dan reformasi dalam sistem pendidikan, negara boleh mencipta tenaga kerja yang fleksibel dan berdaya saing, sesuai dengan keperluan era teknologi moden.
Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar
Pensyarah Kanan
Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 11), 18 Disember 2024: Tangani ketidakpadanan kemahiran era automasi, AI
2. Berita Harian (bharian.com.my), 18 Disember 2024: Tangani ketidakpadanan kemahiran era automasi, AI