Sambutan Hari Pekerja atau hari Buruh di Malaysia pada tanggal 1 Mei setiap tahun merupakan hari yang disambut bagi menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara Malaysia. Hari yang bermakna ini sering dimanfaatkan dengan aktiviti seperti perhimpunan pekerja dan bengkel kesedaran. Di samping itu, terdapat juga organisasi-organisasi yang mengambil kesempatan pada hari tersebut untuk memberikan penghargaan kepada pekerja cemerlang dan komited dalam menjalankan tugas.

Sempena Hari Pekerja ini, kita sangat digalakkan untuk memahami hak-hak seorang pekerja dalam membantu meningkatkan produktiviti kerja. Antara hak yang sangat penting untuk seseorang pekerja itu adalah hak untuk bekerja dengan selamat di ruangan kerja yang ditetapkan oleh majikan. Jika pekerja merasakan bahawa terdapat risiko yang boleh membahayakan diri mereka, mereka mempunyai hak untuk bersuara dan tidak melaksanakan kerja yang diarahkan oleh pihak majikan sehinggalah langkah pencegahan bahaya telah diambil.

Malangnya ramai pekerja masih kurang faham berkaitan dengan hak mereka ini. Mereka cuba beradaptasi dengan bahaya yang ada sehingga berlakunya kemalangan. Walaupun ada pepatah Melayu menyatakan bahawa ’Malang tidak berbau,’ tetapi kita haruslah berpegang kepada slogan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan iaitu ’Kemalangan Boleh Dielakkan.’ Slogan tersebut membawa maksud,  jika wujud bahaya di tempat kerja, dengan pengurusan risiko yang baik, kemalangan akan dapat dihindari.

Mempunyai majikan yang bersikap terbuka juga termasuk di dalam hak asas pekerja di tempat kerja. Keterbukaan majikan secara adil, dapat menjamin peluang pekerja itu untuk memperoleh kesaksamaan dalam peningkatan kendiri dan kerjaya. Maklumat yang perlu diketahui oleh pekerja haruslah dimaklumkan dengan kadar segera agar pekerja dapat membuat tindakan susulan dengan sewajarnya. Hasil dari keterbukaan itu juga, komunikasi yang berkesan dapat diterapkan dengan maklum balas yang diberikan oleh pekerja terhadap maklumat yang diterima.

Komunikasi berkesan di tempat kerja merupakan satu faktor penyumbang yang sangat penting bagi memastikan konflik di tempat kerja dapat dielakkan. Memberi kefahaman tentang sesuatu perkara memerlukan komunikasi yang baik dan kekurangan kemahiran ini di pelbagai tahap organisasi, berkemungkinan menyebabkan seseorang pekerja itu sukar untuk menjalankan tugas harian mereka di tempat kerja.

Hak asas pekerja yang terakhir adalah untuk mempunyai suasana kerja yang positif. Persekitaran yang positif adalah yang mana pekerja berasa inklusif, dihargai dan bermotivasi dan ia terhasil dari usaha sama secara langsung mahupun tidak langsung daripada majikan, pekerja dan pihak yang bertanggungjawab di dalam organisasi. Persekitaran yang positif bukan sahaja penting bagi kesejahteraan fizikal dan emosi pekerja, tetapi secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap produktiviti mereka. Ini kerana mereka yang berasa selesa dengan persekitaran kerja, berupaya untuk menyumbang idea dan juga komitmen secara keseluruhan demi kebaikan organisasi. Oleh itu, pihak organisasi haruslah sentiasa mengambil kira idea dan maklum balas pekerja agar suasana di tempat kerja kekal positif dan bermotivasi tinggi.

Kesimpulannya, fokus kepada tiga hak asas utama pekerja ini haruslah diambil berat oleh majikan. Ianya perlu dicapai di semua organisasi agar kita dapat memberikan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif kepada pekerja malah bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata sehinggakan kebajikan pekerja terabai. Bersempena Hari Pekerja atau Buruh yang akan datang ini juga sama-samalah kita meraikan dan mendukung tema Hari Pekerja 2024 kali iaitu ’Pekerja Kesuma Bangsa.’

 

 

 

Prof. Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Amir Haziq Abdul Razak

Felo Industri

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 1 Mei 2024: Pekerja kesuma bangsa 

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 1 Mei 2024: Pekerja kesuma bangsa 

https://www.hmetro.com.my/rencana/2024/05/1085547/pekerja-kesuma-bangsa

 

3. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 1 Mei 2024: Tempat kerja selamat, toleransi majikan bantu tingkat produktiviti pekerja

https://malaysiagazette.com/2024/05/01/tempat-kerja-selamat-toleransi-majikan-bantu-tingkat-produktiviti-pekerja/