Oleh Ts. Dr. Reazul Haq Abdul Haq
BATU PAHAT, 20 Februari 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Pengajian Siswazah, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah mengadakan ’Roadshow Promosi Program Pascasiswazah’ di beberapa buah Politeknik disekitar Kelantan, Terengganu dan Johor.
Program yang diketuai Dekan FKMP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Bukhari Manshoor bersama Ketua Jabatan Pengajian Siswazah, Ts. Dr. Reazul Haq Abdul Haq ini merupakan inisiatif bersama Pusat Pembelajaran Terus dan APEL UTHM yang ingin memperkenalkan kemasukkan ke program pascasiswazah melalui kelayakan APEL.
Program selama empat hari yang bermula pada 8 Februari 2022 bertempat di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun diikuti pula pada 9 Februari di Politeknik Kuala Terengganu.
Roadshow seterusnya ke Politeknik Kota Bahru, Kelantan pada 10 Februari 2022 dan berakhir di Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang pada 16 Februari 2022.
Sepanjang program tersebut, para peserta telah diperkenalkan dengan program- program pascasiswazah yang ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) serta segala perincian dan keunikan program-program tersebut bermula dari syarat kemasukkan sehinggalah ke yuran pengajian termasuk.
Menurut Dr. Reazul Haq, program promosi ini mendapat sambutan yang mengalakkan daripada peserta yang terdiri daripada staf politeknik dan individu setempat yang berminat untuk menyambung pengajian.
“Melalui taklimat serta sesi soal jawab yang diadakan, peserta berpeluang mendapat maklumat yang lengkap dan mendalam, terutamanya syarat kemasukkan melalui kelayakan APEL.
Tambah beliau, roadshow kali ini berjaya mencapai objektifnya yang mana pendedahan berkaitan program pascasiswazah di sekitar Kelantan, Terengganu dan Johor dapat diperkenalkan bersama program yang ada di FKMP.
“Pihak kami amat berharap melalui pendekatan ini, jumlah kemasukkan pelajar ke program pascasiswazah akan meningkat seperti yang ingin dicapai,” katanya.