Pada awal tahun 2020, apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, banyak negara di seluruh dunia telah menutup sempadan mereka untuk mengehadkan pergerakan individu bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19). Tindakan yang sama juga telah dilakukan oleh Malaysia dalam dan luar negara, dan ini telah menyebabkan gangguan dalam operasi rantaian bekalan, industri logistik dan pengangkutan pelbagai mod merentasi segmen udara, pengangkutan dan laut.
Antara yang terkesan adalah sektor pengendalian pengangkutan awam termasuklah pengusaha pengangkutan awam darat seperti bas dan rel. Permintaan terhadap pengangkutan awam merosot pada kadar sangat ketara. Bukan sahaja disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, malah ia juga disebabkan oleh kebimbangan rakyat berkaitan risiko jangkitan kepada mereka. Bukan hanya negara Malaysia mengalami kemerosotan penumpang ini, malah negara-negara besar seperti Amerika dan Britain juga mengalami perkara yang sama. Walaupun tidak ada statistik lengkap penurunan jumlah penumpang di Malaysia pada tahun 2020 ketika PKP pertama kali dilaksanakan, namun dianggarkan pengurangan ini adalah di antara 75 peratus hingga 95 peratus sama seperti negara-negara serantau yang lain.
Walaupun cabaran besar terpaksa dihadapi oleh majoriti pemain industri pengangkutan awam, seperti kerugian besar yang dialami disebabkan oleh tidak dapat mengendalikan operasi perkhidmatan sepanjang tahun 2020 tetapi atas usaha pihak kerajaan untuk membantu industri ini telah memberi sedikit kelegaan terutamanya kepada pengusaha pengangkutan awam. Pada tahun 2021 lebih banyak kelonggaran pergerakan yang dibenarkan oleh pihak kerajaan. Jumlah pengguna pengangkutan awam menunjukkan peningkatan, walaupun masih belum mencapai jumlah ridership yang sepatutnya, tetapi peningkatan jumlah penumpang sudah pasti memberi sedikit kelegaan kepada syarikat-syarikat yang telah terjejas teruk pada tahun sebelumnya.
Antara syarikat awal menawarkan pengoperasian berskala besar adalah PRASARANA Berhad yang telah mengumumkan perkhidmatan rel, bas Prasarana beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi sehingga tengah malam pada 13 Januari 2021. Perkhidmatan ini sudah pasti memberi kelegaan khususnya kepada pengguna tetap pengangkutan awam di lembah Klang.
Selain itu, pada tahun 2021 juga lebih banyak inisiatif diperkenalkan sebagai insentif kepada rakyat Malaysia bukan sahaja untuk membantu pemulihan sistem pengangkutan awam di Malaysia malah turut memberikan bonus kepada pengguna. Antaranya adalah pelancaran Pas Keluarga Malaysia oleh Perdana menteri. Pas ini membolehkan empat orang dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga RM15 menggunakan perkhidmatan LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Transit Aliran Massa) dan monorel kendalian Rapid KL dan BRT (Transit Aliran Bas) di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.
Pengumuman pihak kerajaan berkaitan pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara berkuat kuasa 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022 juga merupakan usaha kerajaan mempamirkan keperihatinan nasib pengendali bas tanah air. Bukan itu sahaja pemberian bantuan RM500 seorang kepada setiap pemandu bas membabitkan anggaran 6,600 penerima dengan peruntukan berjumlah RM3.3 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) juga turut meringankan beban pemandu yang kebanyakannya terkesan dari pemberhentian operasi pengangkutan awam.
Pada tahun 2021 juga pihak kerajaan telah memanjangkan inisiatif bagi meningkatkan semula jumlah penumpang pengangkutan awam dengan memperkenalkan pas perjalanan bulanan tanpa had dengan harga RM5 juga kepada pelajar sekolah dan OKU. Pengenalan insentif baharu itu juga bertujuan menggalakkan di samping meringankan beban perbelanjaan pengangkutan golongan sasar itu yang menggunakan perkhidmatan KTMB, khususnya KTM Komuter dan KTM Intercity.
Dalam usaha untuk melestarikan sistem pengangkutan negara disamping menyokong pembangunan bandar rendah karbon, Malaysia melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berjaya menyediakan bas percuma GoKL City Bus menggunakan bas elektrik, dan unit pertama memulakan operasi di kawasan Wangsa Maju bermula November 2021. Bas elektrik ini akan menggantikan keseluruhan bas diesel pada tahun ini. Selain itu kerajaan Melaka juga telah meneruskan perkhidmatan bas percuma dengan melancarkan Program Bas Penyayang yang memberi manfaat kepada kira-kira 33,000 orang golongan yang layak di negeri itu pada tahun 2021. Negeri-negeri lain yang turut menyediakan perkhidmatan yang sama termasuklah Pulau Pinang (Pas Mutiara My30), dan Sarawak (E-Bus).
Bagi sistem penerbangan awam Malaysia, tahun 2021 telah menjadi detik sejarah perpindahan operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang sebelum ini terletak di Subang, Selangor ke lokasi baharu di Sepang pada September 2021. Perpindahan tersebut merupakan pencapaian terbaik sepanjang tahun 2021 bagi industri penerbangan negara apabila ruang udara baharu itu distruktur semula menjadi 14 sektor berbanding tujuh sebelum ini. Kesan perpindahan tersebut, pendaratan pesawat berjaya meningkat sehingga 108 sejam menggunakan tiga landasan pada satu-satu masa berbanding 78 pendaratan pesawat sebelum ini. Penambahbaikan ini dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan trafik udara dan mengembangkan industri penerbangan negara.
Sistem pengangkutan awam negara diuji
Tahun 2021 turut menyaksikan bagaimana sistem pengangkutan awam negara diuji. Antara yang sangat memberi kesan dijiwa pengguna adalah kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru pada Mei 2021 yang lalu. Tren berkenaan dalam perjalanan dari Gombak, dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dan dipercayai mengalami masalah teknikal. Insiden kemalangan yang berlaku itu adalah pertama kali terjadi di negara ini sejak operasinya 23 tahun lalu. Dalam kejadian tersebut, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan.
Pada 13 Disember yang lalu juga, negara turut dikejutkan dengan berita kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres dipercayai hilang kawalan sebelum dilaporkan merempuh hampir 10 kenderaan dalam kejadian di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Perai. Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan teruk sejauh kira-kira 15 kilometer sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua apabila kedua-dua lorong terhalang disebabkan kemalangan tersebut.
Negara amat bersyukur kerana kedua kemalangan yang berlaku ini tidak melibatkan kehilangan nyawa. Namun begitu peristiwa ini sedikit sebanyak telah mencalar reputasi perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia, ketika sektor ini sedang cuba bangkit dari cabaran yang sedang dialami disebabkan oleh pandemik Covid.
Cabaran tahun 2022 dan kesiapsagaan untuk memulihkan industri pengangkutan awam negara
Berada di permulaan tahun 2022, bermakna sistem pengangkutan negara telah mula meninggalkan pelbagai episod suka duka sepanjang tahun 2021. Tahun 2022 cabaran mungkin agak berbeza kerana sakit terhadap sistem pengangkutan yang dialami sejak tahun 2020 sehingga 2021 masih lagi belum benar-benar pulih dek kerana Covid-19, kini ditambah pula dengan cabaran banjir 2022 yang sedang dialami. Namun begitu cabaran ini pasti dapat ditangani kerana pengalaman menghadapi cabaran besar sejak kebelakangan ini telah memberi pengalaman yang sangat berharga kepada industri pengangkutan negara.
Sistem pengangkutan awam negara perlu diberi nafas segar agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. Realitinya, usaha memulihkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula pengangkutan awam di tengah-tengah pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang ketat, bukanlah sesuatu yang mudah dan dapat dilakukan dalam tempoh singkat. Tambahan lagi, jika penggunaan pengangkutan awam di negara ini masih belum mencapai tahap separuh maksimum.
Banyak usaha yang perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai penumpang di samping mewujudkan kesetiaan terhadap penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam ini. Sejak penularan Covid-19, peralihan penggunaan kenderaan awam kepada penggunaan kenderaan sendiri nampaknya lebih jelas kelihatan. Keadaan ini turut perlu diberi perhatian terutamanya dalam kawasan bandar. Di sini terdapat keperluan mendesak untuk bertindak dengan lebih cepat untuk memastikan bandar-bandar di Malaysia tidak terbeban dengan pertambahan aliran trafik. Negara perlu siapsiaga untuk mengharungi cabaran pengangkutan awam baru pada tahun 2022 terutama sekali apabila apabila negara mulai beralih ke fasa endemik.
Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani
Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Ahli Persatuan Sains Pengangkutan Malaysia (TSSM)