PNOMPH PENH – Pusat Wakaf dan Endowmen bersama Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mewakafkan 51 telaga pam air untuk masyarakat Kemboja di bawah program “Wakaf dan Infaq Bersama UTHM, Misi Kemanusian Kemboja 2020.”

Program yang berlangsung pada 28 Februari hingga 1 mac lalu melibatkan sumbangan telaga kepada tiga kampung iaitu Kampung Trolak, Kampung Chnang dan Kampung Mualaf Baru, Pnomph Penh.

Delegasi UTHM diwakili oleh Profesor Sr Dr. Wan Zahari Wan Yusoff, Pengarah Pusat Wakaf dan Endowmen dan Ustaz Mohd Shahrir Abd Mutalib selaku ketua delegasi bersama 12 petugas lain.

Program wakaf telaga pam air ini disumbang oleh warga UTHM dan masyarakat sekitar Batu Pahat  bagi membantu masyarakat Islam Kemboja yang amat memerlukan bekalan air bersih.

Selain mewakafkan telaga, kumpulan delegasi ini turut mengadakan program infaq dan sumbangan berbentuk wang tunai, pakaian, kitab sucai Al-Quran dan makanan serta turut mengadakan jamuan aqiqah  kepada pelajar tahfiz dan masyarakat setempat di ketiga-tiga kampung terbabit.

Menurut Dr. Wan Zahari, pihaknya amat bersyukur kerana program ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat.

Beliau yang mewakili UTHM turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang kerana bermurah hati menderma untuk pembinaan telaga pam air, yang mencecah nilai sebanyak RM61,200.

“Semoga sumbangan telaga ini dapat membekalkan air bersih kepada penduduk setempat sekali gus dapat meningkatkan lagi tahap kesihatan masing-masing,” tambahnya.

Untuk rekod, penganjuran program misi kemanusiaan ini merupakan salah satu program tradisi UTHM di Kemboja semenjak beberapa tahun yang lalu.