Batu Pahat, 9 Feb – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima seramai 220 orang pelajar baharu bagi program Sarjana Muda Semester 2 Sesi 2019/2020 pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada hari ini bertempat di kampus induk, Parit Raja.

Untuk pengambilan kali ini, 106 daripada jumlah tersebut merupakan pelajar lelaki manakala 114 adalah pelajar perempuan. Bagaimanapun, jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat sehingga tempoh pendaftaran berakhir.

Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh enam fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST).

Pelajar-pelajar baharu tersebut akan menginap di kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti iaitu Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, Kolej Kediaman Tun Fatimah, Kolej Kediaman Tun Syed Nasir dan Kolej Kediaman Pagoh 2 serta mereka juga akan mengikuti Minggu Tranformasi Mahasiswa (MTM) yang berlangsung selama seminggu bermula 9 hingga 12 Februari ini.

Sepanjang minggu tersebut, mereka akan mengikuti pelbagai program dan taklimat yang bertujuan untuk mengenali alam kampus dengan lebih dekat antaranya Majlis Ikrar Mahasiswa Bersama Kepimpinan Universiti, Majlis Bersama Kepimpinan Pelajar, Program MyFuture, Taklimat Kursus dan Penasihat Akademik dan Kerjaya, Taklimat Pinjaman PTPTN, Taklimat Pengetua Kolej Kediaman, program ‘1st Year Experience’ serta aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK).