Bagi menyemarakkan lagi budaya membaca dalam kalangan generasi muda, Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program khidmat masyarakat Books for Community (B4C) pada 25 April lalu.

Program yang  berkonsepkan kebajikan dan ilmiah ini menuntut setiap ahli jawatankuasa B4C untuk mengumpul pelbagai jenis buku dari pelbagai sumber mengikut tahap murid sekolah dan menyumbangkan bahan-bahan bacaan ini kepada sekolah yang terpilih.

Tahun 2019 merupakan tahun ketiga penganjuran program ini dengan memilih Sekolah Kebangsaan Seri Padang Sari (SKSPS) sebagai sekolah pilihan. Sekolah yang terletak di Simpang Lima, Batu Pahat, Johor ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) kerana hanya mempunyai murid berjumlah 93 orang dan 13 guru.

Program B4C ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari warga sekolah tersebut yang ketuai oleh guru besarnya, Puan Hanita Hj. Ali. Beliau turut melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kerana diberi peluang bekerjasama dengan PPB, UTHM bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan murid sekolah.

Selain sesi penyerahan buku sumbangan kepada pihak SKSPS, program B4C 3.0 2019 ini juga diserikan dengan pelbagai aktiviti ilmiah. Antaranya ialah sesi ceramah motivasi membaca yang disampaikan oleh staf akademik PPB dan sesi membaca buku cerita yang menekankan kosa kata berdasarkan empat bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Mandarin yang dipimpin oleh staf-staf akademik PBB selaku fasilitator.

Turut diadakan sesi pembelajaran pelbagai bahasa melalui aktiviti permainan dan nyanyian yang mampu menarik minat murid-murid mengikuti pembelajaran yang menyeronokkan.

Sementara itu Timbalan Dekan PPB, Dr Hj. Azmi Abdul Latif yang hadir menyempurnakan majlis perasmian menyifatkan program ini sebagai satu daripada medium dan inisiatif terbaik untuk terus memberi inspirasi kepada murid-murid akan kepentingan dan kebaikan membaca.

Tambah beliau pelaksanaan program ini wajar diteruskan dan dijadikan amalan oleh warga universiti agar semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam melahirkan generasi yang cintakan ilmu sekali gus membina masa depan yang cemerlang untuk komuniti dan negara.