Program “FAST-STEMpreneruship 1.0” ketengah STEM sebagai cabang perniagaan

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Muar berganding bahu melaksanakan program khidmat komuniti “FAST-STEMpreneruship 1.0” pada...
IMG_20190423_113212

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Muar berganding bahu melaksanakan program khidmat komuniti “FAST-STEMpreneruship 1.0” pada 20 hingga 23 April lalu.

STEM adalah merupakan singkatan kepada bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics yang merujuk kepada dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah bagi mengembangkan potensi dan minat para pelajar khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Keperluan kepada STEM wujud kerana mengikut kajian menunjukkan kehendak terhadap bidang kerjaya yang melibatkan STEM adalah jauh lebih tinggi berbanding bidang lain.

Selain itu STEM mempunyai potensi tinggi memandangkan bidang ini sentiasa berkembang dan peluang-peluang perniagaan baru terbuka seiring dengan perkembangan sains dan teknologi. Oleh itu satu program yang menggabungkan ilmu STEM dengan keusahawanan telah diadakan bagi menjadikan inovasi sains dan teknologi sebagai satu cabang perniagaan.

Program FAST-STEMpreneurship 1.0 ini melibatkan penyertaan pelajar daripada UTHM dan pelajar peringkat pra-sekolah sehingga sekolah menengah sekitar daerah Muar. Sepanjang empat hari program berlangsung, pelbagai pengisian bermanfaat telah diadakan untuk mendidik dan menyemai minat peserta mendekati STEM dan dunia keusahawanan. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan itu dikendalikan oleh kakitangan akademik serta para pelajar daripada enam panel iaitu Panel Fizik Gunaan, Panel Kimia Industri, Panel Matematik Teknologi, Panel Teknologi Makanan, Panel Statistik serta Panel Biodiversiti dan Pemuliharaan yang melibatkan aktiviti di sekitar kampus termasuk makmal-makmal milik FAST selain khemah pameran yang didirikan di kawasan parkir berhadapan Bangunan Blok A, kampus tersebut.

Antara aktiviti yang dianjurkan ialah “Science Fun, Science Creative dan Science Art” yang menguji kreativiti kanak-kanak mengkhususkan fenomena fizik asas seperti penerapan konsep daya, tekanan suhu, tenaga kinetik melalui aktiviti-aktiviti mudah sesuai dengan peringkat umur mereka.

Manakala di khemah pameran pula, pelajar-pelajar UTHM yang bertindak sebagai fasilitator menyantuni pelajar-pelajar ini melalui pameran yang sangat informatif dan penuh warna warni. Sebahagian daripada mereka melayani pelajar pra-sekolah dengan penganjuran aktiviti bertajuk Rainbow Density, Oobleck dan membina struktur dari bahan buangan.

Di samping itu, seramai 95 orang pelajar daripada 24 sekolah rendah turut mengikuti aktiviti Brain Championship iaitu aktiviti berbentuk kuiz yang menguji kepantasan serta kecerdasan peserta selain pameran yang mempamerkan pelbagai alat bantu mengajar (ABM) yang berupaya membantu guru memudahkan pemahaman pelajar dengan topik tertentu berdasarkan silibus.

Turut diadakan aktiviti penyembelihan burung puyuh sebelum diproses menjadi produk makanan yang melibatkan kehadiran seramai 48 pelajar dari 12 sekolah sekolah menengah rendah. Melalui aktiviti ini para peserta terlibat diberi pengalaman sebenar menyembelih berdasarkan konsep Halalan Toyyiban di bawah pemantauan individu bertauliah. Pelbagai kaedah pemprosesan produk makanan sejuk beku turut diajar dengan teknik pengendalian yang betul supaya kualiti produk terjamin selain jualan produk snek dan konfeksionari dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pertandingan Inovasi Sekolah Menengah Pendidikan Khas peringkat Daerah Muar juga turut diadakan dan berjaya menarik 15 penyertaan daripada enam buah sekolah. Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu pembentangan produk oleh pelajar pendidikan khas kategori lemah pembelajaran, autism, down sindrom, cacat pendengaran dan pembentangan idea khusus untuk pelajar kategori cacat penglihatan. Pelbagai inovasi menarik yang telah dibentangkan didapati berpotensi untuk diketengahkan sekali gus dikomersilkan.

Selain itu, program ini juga menyaksikan penyertaan pelajar daripada sekolah Menengah dalam aktiviti Edu-tourism yang mengetengahkan konsep pendidikan sains alam dalam pelancongan.

Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Profesor Madya Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup yang diadakan pada hari terakhir program. Turut hadir, wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah sebagai tanda sokongan penuh terhadap penganjuran program bermanfaat seumpama ini.

Menurut penyelaras program, Ts. Dr Faridah Kormin, bagi menghadapi dunia pekerjaan kelak, pelajar perlu diberi kemahiran alternatif supaya mereka lebih berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri melalui pengetahuan yang dimiliki. Atas tuntutan tersebut, penghayatan STEM dalam kehidupan seharian perlu diterapkan kepada pelajar seawal pra sekolah lagi sehinggalah ke peringkat universiti.

Menurut beliau lagi, dengan memperkasa konsep inovasi dan aplikasi dalam STEM bagi tujuan pengkomersilan, ianya mampu mendidik pelajar lebih berdikari dengan pengetahuan yang ada.

“Penganjuran program ini membuktikan konsep STEM ini amat luas dan sekiranya dikembangkan dengan sebaiknya, pelbagai cabang perniagaan boleh diterokai. Manakala penyertaan komuniti setempat juga diharap dapat memberi kesedaran berkaitan STEM dengan lebih menyeluruh meliputi pelbagai peringkat umur,” tambahnya lagi.

 

Categories
Sains Gunaan dan TeknologiSosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE