UTHM anjur Seminar Kesedaran Wakaf dan Endowmen bersama pemimpin masyarakat

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melaksanakan tanggungjawabnya memperkenalkan ibadah wakaf dengan memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat luar agar ibadah tersebut dapat diamalkan dalam...
Pelancaran Wakaf Prasarana

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melaksanakan tanggungjawabnya memperkenalkan ibadah wakaf dengan memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat luar agar ibadah tersebut dapat diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.

Untuk mencapai hasrat ini Pusat Endowmen dan Wakaf, UTHM telah menganjurkan Seminar Kesedaran Wakaf dan Endowmen bersama Pemimpin Masyarakat Siri 1.0 pada 14 April lalu bertempat di Dewan Al Farabi Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk.

Seminar yang dihadiri oleh 80 orang peserta terdiri daripada Ketua Kampung dan Penghulu di sekitar daerah Batu Pahat ini memberi fokus kepada penerangan berkaitan wakaf serta manfaatnya selain memperkenalkan Dana Wakaf Tunai Pendidikan yang telah dilaksanakan oleh UTHM sebelum ini.

Seminar Kesedaran Wakaf dan Endowmen ini mengupas tiga topik hangat berkaitan wakaf yang telah dibentangkan oleh Profesor Sr. Dr. Wan Zahari Wan Yusoff, Pengarah Pusat Endowmen dan Wakaf; Ustaz Mustapahayuddin Abd Khalim, Pengarah Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Ustaz Mohd Azri Esa dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (Cawangan Batu Pahat).

Seminar yang dianjurkan buat kali pertama ini juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Batu Pahat dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Cawangan Batu Pahat) bersama penaja rasmi El-Izzah Travel & Tours.

Menurut Wan Zahari, UTHM amat komited mengembangkan ibadah wakaf ini dan akan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh pihak yang berkelayakan.

Tambah beliau lagi, pihak universiti juga telah memperkenalkan satu projek baharu iaitu Wakaf Prasarana UTHM melibatkan laluan alternatif Taman Universiti ke Masjid UTHM yang baharu sahaja dilancarkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti merangkap Penasihat Wakaf UTHM, Dato’ Haji Nooh Gadot.

“Projek laluan alternatif Taman Universiti ke Masjid UTHM ini merupakan inisiatif bersama antara Pusat Endowmen dan Wakaf, Kluster Prihatin Ummah (Sayangi UTHM) dan Pusat Islam.

“Laluan alternatif ini memerlukan 11,700 lot wakaf dengan nilai satu lot wakaf bersamaan dengan RM30, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya bernilai RM351 ribu. Justeru itu UTHM sangat mengalu-alukan masyarakat untuk berwakaf bagi merealisasikan projek Wakaf Prasana UTHM ini,” jelas beliau.

 

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE