5Pasukan Sahabat KAMIUTHM yang dianggotai oleh Fakhrul Amri Husainy, pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) bersama alumni Muzakkir Nadzri, Shafiq Nizar dan Shafie Nemmang di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad berjaya meraih Perak dalam pertandingan Waste to Art kategori dua dimensi (2D) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan SW Corp Malaysia.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri KPKT dalam majlis yang berlangsung di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur.

Karya yang berjudul “Jantung Hati Kami” mengangkat isu derma organ lantaran perkara ini masih rendah kesedarannya dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menggunakan 80 botol minuman plastik bersama 60 tin minuman aluminium, seni anyaman diangkat sebagai simbolik interaksi saling memberi yang diperlukan bagi menjayakan agenda pendermaan organ.

Afandi selaku pembimbing pasukan yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),UTHM menyifatkan kejayaan ini adalah luar biasa kerana pasukan ini turut dianggotai oleh alumni UTHM.

Menurutnya kejayaan ini juga turut membuktikan walaupun pesertanya mempunyai latar belakang bidang kejuruteraan, namun mereka tetap tidak mengenepikan aspek kesenian dalam bidang yang diceburi.

“Diharapkan juga kejayaan ini dapat menyemarakkan lagi kesedaran berkaitan pengurusan sisa pepejal untuk kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.