DSC_5647BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengorak langkah ke hadapan dengan menubuhkan Makmal Inovasi UTHM-Fraunhofer, iaitu satu makmal yang berperanan sebagai stesen pemindahan teknologi yang membolehkan staf dan pelajarnya bekerjasama dengan tenaga pakar daripada industri bagi meningkatkan aktiviti akademik, penyelidikan, pembangunan dan perundingan.

Usaha ini selari dengan Pelan Malaysia ke-11 untuk mengukuhkan perlaksanaan teknologi Industri 4.0 dalam industri tempatan, di samping sebagai usaha merealisasikan hubungan kerjasama Universiti-Industri.

DSC_5641Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly dalam ucapannya turut percaya dengan adanya jalinan kerjasama ini, aktiviti penyelidikan dalam kalangan staf dan pelajar dapat ditingkatkan dengan bantuan tenaga pakar dalam bidang mekatronik daripada Fraunhofer Institute for Mechatronic Systems Design (IEM).

Selain itu, kepakaran Fraunhofer IEM dalam menemukan kaedah dan peralatan inovatif untuk pembangunan produk pintar, sistem dan perkhidmatan pengeluaran amatlah diperlukan oleh UTHM.

Tambah beliau dengan adanya makmal inovasi ini, proses pemindahan teknologi terkini daripada industri kepada universiti dapat dijalankan secara langsung. Staf diharapkan dapat mengambil peluang dengan mengunjungi makmal ini bagi mempelajari pembangunan produk berdasarkan inovasi dan amalan kejuruteraan yang dibangunkan oleh Fraunhofer IEM.

“Kolaborasi ini juga akan mendatangkan manfaat kepada masyarakat setempat terutamanya sekolah di sekitar kawasan Parit Raja dan Batu Pahat melalui aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) yang boleh dilakukan bagi meningkatkan minat golongan muda dalam mendalami bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” jelas beliau lagi.

DSC_5617Majlis perasmian pembukaan Makmal Inovasi UTHM – Fraunhofer yang diadakan pada 29 Januari lalu disemarakkan lagi dengan sesi perkongsian idea menerusi ucaptama dan sesi dialog yang bertajuk “INDUSTRY4WRD: Perspectives of Industry 4.0.”

Sesi ini melibatkan beberapa panel iaitu Martin Rabe, Ketua Projek Research Alliance for Intelligent Systems in Medical Technology in Malaysia (RAISE-MED); Mohd Nurul Azammi Mohd Nudri, Timbalan Pengarah myForesight®; Profesor Ts. Dr Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UTHM dan Profesor Dato’ Dr. Ahmad Ibrahim, Penasihat Kanan Fraunhofer di Malaysia.

Majlis pelancaran makmal ini berjaya menarik lebih daripada 100 peserta yang terdiri daripada pemain industri tempatan dalam bidang elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, petroleum dan gas, makanan dan minuman, tekstil, pembungkusan, plastik, seramik dan juga perkayuan.