PARIT RAJA – Sebanyak sembilan industri prinsipal menerima dokumen Surat Hasrat (Letter of Intent) sebagai simbolik kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) semasa berlangsungnya majlis pelancaran Seminar on Technology Update 2018 yang bertemakan Teknologi Bilik Kuliah Pintar bagi Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) pada 18 November lalu di kampus induk, Parit Raja.

Antara pihak industri yang terlibat ialah BenQ Service & Marketing (M) Sdn. Bhd., Crestron Singapore Pte. Ltd., Extreme Malaysia, Haier Group Corporation, Logitech Malaysia, Projector Solution (Malaysia) Sdn. Bhd., QNAP Systems, Inc., Ricoh Malaysia Sdn. Bhd dan Sangfor Malaysia. Penyerahan dokumen ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly, disaksikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Majlis tersebut turut menyaksikan satu perjanjian kerjasama antara UTHM dan Alian Trading Sdn. Bhd.

UTHM juga turut menerima geran industri daripada dua buah syarikat iaitu Agensi Pekerjaan Pikoje Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Siti Hajar Ramli bernilai RM50,000.00 dan Civil Innovation Lab Asia yang diwakili oleh Benjamin Pwee Yek Kwan bernilai USD50,000.00. Geran ini akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan serta peningkatan aktiviti inovasi di UTHM.

Pengarah urusan syarikat Projector Doctor, Muhamad Farolradzi Ismail juga turut menyerahkan sumbangan industri kepada Tabung Endowmen UTHM yang berjumlah RM230,000.00.