Pelajar Ijazah Doktor Falsafah, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Rabiatul Adawiyah Zayadi bersama tiga lagi saintis dari Malaysia telah mengharumkan nama negara apabila dianugerahkan Diploma Kehormat di KANS Scientific Competition yang berlangsung pada 12 November lalu di Amirkabir University of Technology, Tehran, Iran.

Tiga lagi saintis melibatkan pensyarah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Abdul Samad yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan telah mendapat tempat pertama dalam kategori Ekonomi, diikuti Profesor Madya Dr. Wan Azlina Wan Ab Karim Ghani dari Fakulti Kejuruteraan  dianugerahkan diploma dalam bidang Tenaga manakala Profesor Madya Dr. Sarva Mangala Praveena dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dianugerahkan diploma dalam bidang Air dan Alam Sekitar.

Menariknya Adawiyah antara peserta termuda yang menerima anugerah Diploma Kehormat dalam bidang Air dan Alam Sekitar daripada 1045 pendaftaran yang diterima oleh pihak penganjur.

KANS Scientific Competition atau nama penuhnya Knowledge Application and Notion for Society (KANS) yang dihadiri lebih 1000 ahli akademik ini telah dianjurkan oleh Mustafa Science and Technology Foundation (MSTF) bagi memberi peluang kepada saintis muda daripada negara-negara Islam untuk mengetengahkan idea mereka dalam bidang sains dan teknologi.

Penganjuran KANS ini juga bertujuan untuk mencari solusi saintifik bagi menyelesaikan masalah sosial dalam lima bidang sasaran iaitu Air dan Alam Sekitar, Kesihatan, Teknologi Maklumat, Ekonomi, serta Tenaga.

Untuk rekod, MSTF merupakan sebuah yayasan berpusat di Iran yang berfokus dalam mengiktiraf para saintis di negara-negara Islam khususnya negara-negara di bawah Persidangan Kerjasama Islam (OIC) yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan sains dan teknologi.

Menurut Ketua Juri KANS, Saeed Sohrabpour sebanyak 154 video dalam bidang air dan alam sekitar, 152 dalam bidang kesihatan, 136 dalam bidang teknologi maklumat, 45 dalam bidang ekonomi serta 35 video dalam bidang tenaga telah dihantar oleh para peserta yang mengambil bahagian.

Pertandingan ini dijalankan dalam dua kategori iaitu peringkat pelajar dan profesor di bawah 45 tahun, yang mana para peserta dikehendaki menghantar video berdurasi 3 hingga 5 minit berkenaan solusi saintifik mereka.

Saintis muda dari pelbagai negara telah menyertai pertandingan ini antaranya daripada Iran, Oman, Malaysia, Pakistan, Iraq, Afghanistan, Syria, Palestin, Jordan, Tunisia, Bangladesh, Indonesia, Nigeria, Mesir, dan Kazakhstan. Daripada sejumlah penyertaan tersebut, 15 idea terbaik diberi peluang untuk dibentangkan di hadapan juri dan ahli akademik di Iran.

Antara kriteria penting yang dinilai dalam pertandingan ini ialah sejauh mana penyelidikan yang dijalankan itu mempunyai impak tinggi dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi manusia sejagat.

KANS Scientific Competition yang dianjurkan MSTF ini bukan sahaja dapat menaikkan semangat para saintis muda beragama Islam untuk terus maju dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi, malah dapat mengukuhkan hubungan kerjasama antara para saintis berlainan negara.