Menteri Pendidikan kunjungi UTHM temui pelajar baharu

BATU PAHAT – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengunjungi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 2 September baru-baru ini untuk menemui pelajar baharu sempena berlangsungnya Minggu Haluan Siswa...
DSC_7656

DSC_7626BATU PAHAT – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengunjungi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 2 September baru-baru ini untuk menemui pelajar baharu sempena berlangsungnya Minggu Haluan Siswa (MHS) bagi program sarjana muda.

UTHM merupakan universiti pertama yang dikunjungi beliau dengan tujuan meraikan kemasukan pelajar-pelajar baharu dan menyampaikan beberapa amanat kepada mereka dalam majlis yang berlangsung selama kira-kira dua jam di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Dr. Maszlee dalam ucapannya menyeru pelajar agar terus berusaha bersungguh-sungguh sehingga mampu mencapai kejayaan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sebagai persediaan untuk mencurah bakti kepada negara kelak. Manakala bagi mendepani cabaran Industri 4.0, pelajar turut diseru untuk melengkapi diri mereka dengan pelbagai kemahiran sebagai bekalan untuk menembusi pasaran pekerjaan nanti.

Beliau turut berkongsi hasrat Kementerian Pendidikan yang ingin menerapkan budaya kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati di sekolah dan universiti bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang positif dan menyeronokkan. Tiga budaya ini akan disemai dan dipopularkan dalam bidang pendidikan, termasuk dalam kalangan pensyarah, guru serta pelajar sekolah dan universiti mahupun ibu bapa.

Dalam pertemuan tersebut Dr. Maszlee turut meraikan pasukan UTHM Everest Golden Quarter yang akan memulakan pendakian ke Kem Dasar Tertinggi Everest bermula 5 September ini sempena ulang tahun ke-25 UTHM dan sambutan Hari Malaysia, selain ingin mencipta nama universiti di dalam Malaysia Book of Records.

Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly pula dalam ucapannya turut mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu ini ke UTHM dan berharap mereka dapat menggalas tangungjawab sebagai pelajar universiti dengan sebaik mungkin.

“Saya yakin semua pelajar telah memilih universiti yang betul dan pihak kami akan sentiasa berusaha menyediakan ruang dan perkhidmatan terbaik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Makanya adalah menjadi tanggungjawab pelajar untuk menyahut cabaran di sini dengan penuh iltizam dan dedikasi demi merealisasikan impian sendiri, ibu bapa dan juga negara,” katanya.

Untuk rekod, UTHM menerima seramai 2469 pada hari pertama pendaftaran dan jumlah ini dijangka akan bertambah sehingga tamat tempoh rayuan.

Kesemua pelajar baharu ini menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti dan perlu mengikuti MHS yang berlangsung selama seminggu bermula 2 hingga 8 September ini.  Sepanjang minggu tersebut mereka akan mengikuti beberapa sesi suai kenal bertujuan untuk mengenali kehidupan kampus dengan lebih dekat sekali gus merapatkan lagi hubungan dengan warga kerja universiti.

 

Categories
Hal Ehwal Pelajar

RELATED ARTICLE