Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Konvensyen Hala Tuju FPTV pada 9 dan 10 Ogos baru-baru ini bertempat di Studio Pendidikan fakulti.

Penganjuran konvensyen tersebut bertujuan untuk memperoleh pandangan dan idea pemain-pemain Teacher Training – Technical and Vocational Education and Training (TT-TVET) untuk pembangunan dan daya saing FPTV. Pihak Pengurusan FPTV yakin bahawa menerusi konvensyen seumpama ini, strategi untuk memperkasa FPTV sebagai pembekal utama tenaga pengajar bidang teknik dan vokasional di Malaysia dan antarabangsa dapat dihasilkan.

Menerusi sumbangan idea, pandangan dan pengalaman pengucap-pengucap utama juga pihak pengurusan FPTV berharap, FPTV terus menjadi institusi TT-TVET yang mempunyai permintaan tinggi daripada pemohon-pemohon dalam dan luar negara. Di samping melihat peluang untuk FPTV meneroka program-program baru termasuklah kemungkinan untuk melaksanakan program berteraskan teknologi yang disertakan atau ditambah dengan kurikulum pendidikan atau program teknologi yang berdiri sendiri.

Pakar-pakar TT-TVET yang memberi sumbangan dalam konvensyen FPTV ialah Profesor Dr. Wahid Razzally, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Profesor Dr. Jailani Md Yunos dan Profesor Madya Dr Razali Hassan daripada FPTV. Pengucap Utama lain daripada UTHM ialah Profesor Dr Ismail Abdul Rahman, Dekan Pusat Pengajian Siswazah dan Profesor Madya Dr. Ishak Baba.

Beberapa personaliti yang terlibat dalam bidang TT-TVET juga diundang untuk berkongsi pandangan mereka untuk memajukan FPTV iaitu Hj. Mohamad Samad, Timbalan Pengarah Pembangunan Kejurulatihan Pendidikan Teknik Vokasional, Bahagian Pembangunan Teknik dan Vokasional (BPTV); Dr. Mohamad Sulaiman, Pengarah Bahagian Pemantauan Projek, Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Dr. Mohamad Naim Yaakub, Pengarah PROSPEK (Projek Khas TVET).

Turut menyumbang ialah Dr Rosli Ismail, Ketua Sektor Unjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan dan En. Abdul Razak Sabtu, Pengarah Bahagian Kalaborasi dan Keusahawanan.

Antara resolusi yang diperoleh menerusi konvensyen tersebut ialah FPTV perlu menyemak dan memperkenalkan program baru yang dapat memenuhi keperluan Kolej Vokasional dan Institut Latihan Awam (ILA) Malaysia. Dalam konteks tersebut, FPTV perlu menjalinkan konsensus bersama dengan pemain-pemain TVET di Malaysia untuk memastikan graduan FPTV bukan sahaja boleh memasuki Skim Perguruan (DG) dan Kolej Vokasional (DV) tetapi juga Skim Pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti (DH) serta menjadi pegawai instruksional di Institut ILA di Malaysia.

Di samping itu, FPTV perlu bersedia untuk melaksanakan semula program Diploma Lepasan Ijazah sebagai satu solusi untuk menangani keperluan TT-TVET di Malaysia. Beberapa program baru yang lebih menonjolkan eleman kejuruteraan dan teknologi berserta pendidikan juga perlu dibangunkan oleh FPTV. Turut dipersetujui peri pentingnya Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) terus diperkasa di FPTV dengan memastikan semua program mempunyai pusat pentauliahan dan graduan memperoleh sekurang-kurangnya Sijil Kemahiran Tahap 3 dan Pegawai Latihan Vokasional (VTO). Di samping memastikan bahawa pensyarah mempunyai SKM tahap 4 dan VTO.

Daripada segi operasi, resolusi konvensyen memutuskan penting bagi FPTV menjalinkan kerjasama pintar dengan pihak industri sebenar (Bukan sekadar institut TVET seperti politeknik dan kolej komuniti) bagi memastikan pensyarah dan graduan FPTV mempunyai penguasaan ilmu dan kemahiran kejuruteraan dan teknologi yang lebih tinggi. Turut disarankan ialah FPTV perlu memperkukuh kerjasama antarabangsa terutamanya negara-negara yang mempunyai program TT-TVET seperti Indonesia, Korea, Thailand, Vietnam, China dan Jerman. Selain itu, FPTV terus memperkasa tanggungjawab sosial korporat dengan masyarakat sekitar dan antarabangsa dengan agenda memasyarakatkan TVET.

Pihak pengurusan FPTV merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pengucap-pengucap utama yang telah membuka minda pengurusan dan staf FPTV untuk terus komited bagi memastikan FPTV terus kekal signifikan dan relevan di Malaysia dan persada antarabangsa. TVET sebahagian daripada kehidupan kita semua.

Prof Madya Dr Ahamd Esa
Dekan Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional.