Kejohanan Renang UTHM 2016 anjuran Pusat Sukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 22 April 2016 lalu bertempat di Kompleks Renang UTHM telah berjaya menarik penyertaan mahasiswa dalam kalangan pelajar baharu dan lama.
Terdapat lima acara yang dipertandingkan iaitu 100 meter gaya bebas wanita, 100 meter gaya bebas lelaki, 100 meter gaya kuak dada lelaki, 100 meter gaya kuak lentang lelaki dan 100 meter gaya kuak kupu-kupu lelaki.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk melahirkan atlet renang dalam kalangan mahasiswa UTHM untuk di ketengahkan ke peringkat tertinggi dan menggalakkan lagi gaya hidup sihat. Di samping itu kejohanan ini juga dapat meningkatkan kemahiran insaniah peserta melalui sudut penganjuran dan memupuk semangat kesukarelawan dan kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa.
Pengurus Pusat Sukan UTHM, En. Azli Puddin turut hadir ke kejohanan tersebut bagi memberikan sokongan moral kepada semua peserta dan urusetia terlibat. Diharapkan kejohanan ini akan terus mendapat sambutan daripada para pelajar pada masa-masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai perenang di UTHM.

Source: Kejohanan Renang UTHM lahirkan Perenang berprestasi tinggi