BATU PAHAT – Kejohanan Olahraga dan Balapan anjuran Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 24 April baru-baru ini menyaksikan lapan rekod kejohanan berjaya dipecahkan oleh atlit-atlit dari sembilan fakulti yang mengambil bahagian.
Sebanyak lapan acara olahraga dan balapan dipertandingkan iaitu 100 meter , 200 meter, 400 meter , 4 x 100 meter, 4 x 400 meter, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. Daripada lapan rekod kejohanan tersebut, enam darinya merupakan acara bagi kategori perempuan yang mana Ruhayza Abdul Rahim telah dinobatkan sebagai olahragawati kejohanan manakala Mohamad Nur Aizat Mohamad Alias pula dinobatkan sebagai olahragawan kejohanan.
Penyertaan ini melibatkan seramai 300 orang pelajar yang mana 100 orang daripadanya adalah pelajar daripada FPTV yang mengambil subjek pengurusan ko-kurikulum pada semester ini.
Kejohanan Sukan dan Balapan ini menyaksikan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) mengungguli temasya berkenaan. Kejayaan itu memperkukuhkan kedudukan pingat dan kiraan mata FKEE di tangga teratas dengan pencapaian keseluruhan dua pingat emas, dan empat perak dengan kiraan mata tertinggi sebanyak 144 mata.
Kejayaan FKEE ini merupakan kejayaan yang pertama dalam sejarah Kejohanan Olahraga dan Balapan. Fakulti lain yang turut memberikan saingan sengit kepada FKEE adalah kontinjen Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dengan pungutan mata melebihi 42 mata dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional sebanyak 86 mata.
Majlis perasmian penutup yang dihadiri kira-kira150 orang itu telah disempurnakan oleh Dekan FPTV, Profesor Madya Dr. Ahmad Esa.
Pemangku Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM, Hajah Sarebah Warman berkata kejohanan ini adalah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana UTHM menerusi FPTV secara tidak langsung dapat melahirkan guru berpengetahuan, berkemahiran teknik dan vokasional serta mempunyai pengetahuan pengurusan sukan dan kokurikulum yang tinggi.
“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa graduan FPTV adalah graduan yang holistik, seimbang dan bercirikan keusahawanan yang mana pada hari kejohanan tersebut beberapa gerai jualan turut dibuka dan diurus sendiri oleh pelajar,” katanya.
Source: Kejohanan Olahraga dan Balapan FPTV tarik penyertaan 9 fakulti