Bagi membuka minda pelajar terhadap persekitaran pembelajaran dan budaya Turki, MyFKMP International Mobility Programme (MyFiMP 2015) yang telah dilaksanakan  pada 7 hingga 17 Disember lalu berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

Program mobiliti ini memberi impak tinggi kepada UTHM apabila aktiviti lawatan akademik ke Turki melibatkan Istanbul Technical University (ITU), Sakarya University (SU) dan Istanbul Aydin University (IAU) menjadi pembuka jalan hubungan baru di antara UTHM dan tiga Universiti terkemuka tersebut.

MyFiMP yang diketuai Dr. Mohammad Sukri Mustapa melibatkan staf seperti Dr. Mohd Rashidi Ibrahim dan dua pegawai daripada Pusat Sukan iaitu Puan Farhawahidah Ahmad Puad dan Puan Tuan Noraini Tuan Mohd bersama 24 orang peserta termasuk Pengarah Program, Saiful Izwar bin Li.

Profesor Madya Dr. Shahruddin bin Mahzan@Mohd Zin, Dekan FKMP dalam taklimat pelepasan peserta ini menyatakan bahawa program ini merupakan medium yang sangat berharga kepada pelajar UTHM untuk menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman  di negara antara dua benua ini. Beliau berharap program ini dapat didokumentasikan melalui buku yang berkonsepkan Coffee Table supaya dapat dikongsi dengan yang lain.

ITU merupakan universiti pertama di Turki yang ditubuhkan pada tahun 1773 dan telah melahirkan Profesor hebat pernah mengajar di ITU seperti Profesor Dr. D Harold Young, pengasas formula Modulus Young dan Profesor Dr. Stefen Timonshenko, pengarang buku Mechanics of Materials.

SU pula mempunyai bilangan pelajar yang ramai iaitu 80,400 pelajar termasuk 10,000 pelajar sarjana dan 1,600 pelajar PhD. Kekuatan universiti ini adalah dalam bidang teknik dan vokasional serta bidang sukan kerana mempunyai kolam renang bertaraf olimpik.

Bagi IAU pula, mempunyai bilik kelas pintar (Smart Class Room) dan kemudahan fasiliti yang baik menjadi bonus kepada warganya.

Dengan kelebihan yang ada pada ketiga-tiga universiti tersebut, UTHM perlu mengambil peluang bagi menjalinkan hubungan baik dan seterusnya mengadakan perjanjian persefahaman (MoU). Hubungan ini akan dapat memberi peluang yang terbaik kepada staf dan mahasiswa UTHM dan seterusnya mengharumkan nama UTHM di peringkat antarabangsa.

Info laman sesawang :
http://internationalrelations.aydin.edu.tr/index.asp
http://www.mf.sakarya.edu.tr/tr

~ Technically Above The Rest

Source: Mobiliti Antarabangsa buka jalan hubungan baik UTHM dengan tiga Universiti di Turki