Kejayaan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) melaksanakan program mobiliti antarabangsa di enam buah negara iaitu Turki, Australia, Korea, Vietnam, Brunei dan Thailand telah meningkatkan hubungan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan universiti-universiti di negara tersebut.

Seramai 10 orang staf FKMP dan 126 orang pelajarnya termasuk beberapa pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional telah menjayakan program yang diberi nama MyFKMP International Mobility Program (MyFiMP 2015).

Untuk rekod, MyFiMP 2015 telah dilancarkan oleh Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM semasa berlangsungnya Hari Terbuka FKMP pada 15 Mei 2015 lalu. Profesor Datuk Dr. Mohd Noh dalam ucapannya turut melahirkan rasa bangga dan menyokong penuh pelaksanaan program ini.

“Program mobiliti antarabangsa ini merupakan salah satu medium yang sangat berharga kepada pelajar UTHM untuk menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman sepanjang pelaksanaan program bermula daripada penyediaan kertas kerja sehinggalah pelaksanaannya. Justeru, diharapkan para peserta dapat memberi komitmen sebaik mungkin di samping menjaga serta mengharumkan nama baik universiti dan negara ketika berada di luar negara,” katanya.

Penyelaras Program MyFiMP 2015, Dr. Mohammad Sukri Mustapa berkata program ini juga telah dapat membuka minda pelajar terhadap persekitaran pembelajaran dan budaya luar negara serta telah dapat memberi pendedahan suasana pembelajaran di universiti-universiti yang dilawati.

Program ini juga berkeupayaan menjalinkan hubungan di antara para pelajar UTHM dengan pelajar luar negara. Selain itu beberapa universiti telah bersetuju untuk menghantar pelajar mereka ke UTHM sekali gus dapat memberi peluang yang terbaik kepada pelajar UTHM untuk membina jaringan yang lebih luas dan seterusnya mengharumkan nama UTHM di peringkat antarabangsa.

Sebanyak 12 universiti yang terlibat dalam MyFiMP 2015 ini iaitu Universiti  Brunei Darussalam dan Institut Teknologi Brunei, BRUNEI, Prince of Songkla University, THAILAND, Ho Chi Minh City University of Technology, VIETNAM, Seoul National University dan Hongik University, KOREA, The University of Western Australia, Curtin University Australia dan Central Institute of Technology, AUSTRALIA serta Istanbul Technical University, Sakarya University dan Istanbul Aydin University, TURKEY. ~Technically Above the Rest

Source: MyFiMP 2015 bawa Pelajar ke 12 universiti di 6 negara