
Sebelum ini tular satu luahan pelajar dari sebuah institusi pendidikan yang menyuarakan rasa kasihan terhadap pensyarah kerana memberikan tugasan pada saat akhir. Lebih mengejutkan, pelajar tersebut mendakwa berjaya menyiapkan tugasan hanya menggunakan ChatGPT dan alat kecerdasan buatan (AI), sekali gus menggambarkan budaya menipu pensyarah tanpa disedari sudah menjadi kebiasaan. Namun persoalannya adakah benar pensyarah tidak tahu-menahu hasil kerja itu bukan asli? Atau adakah pensyarah hanya berlembut hati agar pelajar tersebut lulus? Persoalan ini membuka ruang untuk kita renungkan sejauh mana pelajar hari ini benar-benar faham nilai integriti dalam menuntut ilmu.
Kecerdasan buatan seperti ChatGPT adalah ciptaan manusia, dan ciptaan ini tidak akan sesekali mampu menandingi kehebatan akal, emosi dan moral yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. ChatGPT hanyalah alat sekadar membantu memudahkan pencarian maklumat dan menyusun isi. Ia bukannya menjadi penulis sebenar kepada sesebuah tugasan. Pada hakikatnya kebanyakan pensyarah mampu mengenal pasti dengan mudah hasil kerja yang terlalu sempurna atau lari daripada gaya bahasa pelajar. Bahkan dalam kalangan pendidik sendiri wujud perbincangan berterusan mengenai kaedah terbaik untuk menilai keaslian hasil kerja pelajar termasuk memperkenalkan pembentangan, ujian lisan dan projek yang berasaskan situasi sebenar.
Institusi pengajian tinggi bukan sekadar tempat menuntut ilmu teori semata-mata sebaliknya merupakan medan latihan dan persediaan kepada pelajar sebelum mereka menempuh alam kerjaya yang lebih mencabar. Sekiranya pelajar tidak jujur ketika menyiapkan tugasan di universiti bagaimana pula sikap mereka apabila berhadapan dengan tekanan kerja yang sebenar. Sikap ambil mudah dan terlalu bergantung kepada AI akan hanya melemahkan daya fikir, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah yang mana inilah merupakan antara kemahiran penting yang dicari oleh pihak industri.
Sebagai pensyarah, nilai integriti dalam menuntut ilmu perlu disematkan dalam jiwa setiap pelajar. Didikan perlu diberi secara berkala. Sedarkan para pelajar bahawa keberkatan ilmu tidak datang daripada gred semata-mata tetapi melalui usaha, kejujuran dan doa yang ikhlas. Hari ini adalah permulaan kepada rezeki dan gaji di kemudian hari. Jika hari ini pun sudah terbiasa menipu agaknya bagaimana pula rezeki yang diperoleh suatu hari nanti. Pelajar harus dididik untuk jujur kepada diri sendiri kerana kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada transkrip semata tetapi pada nilai insan yang terbentuk sepanjang proses menimba ilmu.
Sebagai seorang pendidik dan insan yang mencintai ilmu, marilah kita kembalikan kepercayaan kepada akal diri sendiri dan institusi akademik. Teknologi memang berkembang dengan sangat pesat dan adalah sangat mustahil untuk kita lari secara total dari teknologi. Kita harus bijak dalam menggunakannya. ChatGPT adalah salah satu seperti teknologi lain yang harus digunakan sebagai pembantu, bukan sebagai pengganti. Hanya dengan integriti dan ilmu yang berkat, kita dapat melahirkan generasi profesional yang bukan sahaja cemerlang, malah jujur dan beretika pada masa hadapan.
Dr. Siti Hajar Arbain
Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 13), 13 Jun 2025: Jujur menuntut ilmu bentuk integriti individu dalam kerjaya
2. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 21 Jun 2025: Kembalikan kepercayaan institusi pendidikan
3. Utusan (utusan.com.my), 21 Jun 2025: Kembalikan kepercayaan institusi pendidikan