Penyahkarbonan dalam pembinaan lestari bukanlah sesuatu yang janggal dalam era masa ini. Pendekatan ini merupakan langkah penting yang bertujuan untuk mengurangkan atau menghentikan pelepasan karbon dalam industri pembinaan terutamanya dalam proses penghasilan bahan dan kitaran hayat persekitaran binaan.

Usaha penyahkarbonan telah menjadi agenda utama dalam wacana kelestarian alam sekitar, yang mana ia digerakkan oleh pelbagai organisasi awam mahupun swasta secara sistematik bagi menurunkan jumlah pelepasan karbon. Proses ini amat signifikan dalam bidang pengeluaran tenaga, aktiviti Perindustrian dan pelbagai sektor ekonomi. Secara amnya ia dijalankan untuk menangani cabaran perubahan iklim secara menyeluruh.

Dengan mengurangkan pembebasan karbon dioksida dan gas rumah hijau ke atmosfera, penyahkarbonan mampu memupuk peralihan ke arah amalan yang lebih bersih dan lebih lestari. Pendekatan strategik ini menjadi usaha global dalam mencapai matlamat secara harmoni antara aktiviti manusia dan kesejahteraan ekologi planet ini.

Kajian terkini oleh penyelidik di Centre for Sustainable Engineering, School of Computing, Engineering and Digital Technologies, Teesside University, menunjukkan bahawa penyahkarbonan di bawah kluster industri secara global amat penting dalam memerangi perubahan iklim dan juga penting dalam membantu United Kingdom mencapai ekonomi bersih-sifar menjelang 2050. Namun begitu, ketiadaan rangka kerja mitigasi yang holistik untuk menyahkarbon, ditambah pula dengan kekurangan dalam penilaian empirikal, sedikit sebanyak ia telah menjadi penghalang utama dalam merealisasikan sasaran yang ditetapkan untuk mengurangkan pelepasan CO2.

Bukan itu sahaja, di Malaysia jelas usaha ini kian mendapat perhatian dalam kalangan pemain industri. Dalam mencapai objektif penyahkarbonan ini secara komprehensif dan efektif, terdapat beberapa usaha yang perlu dilaksanakan. Penglibatan semua pihak berkepentingan dalam sesuatu pembangunan projek lestari amat diperlukan. Kumpulan yang berkepentingan seperti pihak klien, pemaju, kontraktor dan perunding bertanggungjawab dalam menerapkan usaha ini seawal di peringkat perancangan projek lagi.

Hal ini jelas, yang mana penglibatan pihak berkepentingan dalam memupuk kerjasama dan memastikan bahawa pelbagai perspektif arkitek, kontraktor dan pengguna akhir dipertimbangkan dalam proses membuat keputusan. Penyepaduan ini adalah penting untuk membangunkan strategi penyahkarbonan holistik dan boleh dilaksanakan dengan berkesan.

Seterusnya, usaha mengenal pasti dan menangani potensi rintangan terhadap amalan pembinaan mampan adalah penting dalam menjadikan usaha ini bukan ‘omong-omong kosong” semata-mata. Penglibatan pihak berkepentingan secara konsisten dalam mengenal pasti halangan seperti peningkatan kos dan kekurangan kesedaran sangat diperlukan. Strategi untuk mengatasi halangan ini boleh dibangunkan melalui perbincangan secara kolaboratif dan terbuka.

Reka bentuk berpusatkan pengguna perlu mendapat prioriti dalam kalangan pemegang taruh projek pembinaan. Pendekatan yang berteraskan pengguna akhir dalam reka bentuk dan proses membuat keputusan dilihat mampu membantu memastikan kelestarian dapat dicapai sejajar dengan kehendak dan keperluan pengguna. Pendekatan berpusatkan pengguna ini dapat memastikan penggunaan dan penerimaan amalan pembinaan lestari dapat direalisasikan dengan jayanya.

Penglibatan pihak berkepentingan berfungsi sebagai platform untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti. Dengan melibatkan arkitek, kontraktor dan pengguna akhir dalam perbincangan dan inisiatif yang berkaitan dengan penyahkarbonan, jurang pengetahuan boleh ditangani dengan efektif.

Namun begitu, usaha penyahkarbonan berkemungkinan tidak berjaya tanpa langkah yang sistematik dan berterusan. Terdapat beberapa langkah-langkah yang bersesuaian dalam merealisasikan usaha nyahkarbon terutamanya dalam projek lestari. Antara yang mendapat perhatian ialah Penilaian Kitaran Hayat (Life Cycle Assessment). Ia adalah kaedah yang komprehensif dalam menilai kesan alam sekitar bahan binaan, proses dan operasi bangunan. Langkah ini membantu mengenal pasti kawasan yang mempunyai jejak karbon tertinggi dan merangka strategi dalam membuat keputusan yang tepat untuk penambahbaikan seterusnya.

Pemilihan bahan yang mengutamakan bahan rendah karbon dan lestari dalam pembinaan wajar diteruskan. Penggunaan bahan tersebut, seperti bahan kitar semula dan bahan boleh diperbaharui, dan mempertimbangkan kesan alam sekitar ke atas keseluruhan kitaran hayat perlu diambil kira di peringkat perancangan, proses perolehan dan tender serta pemilihan kontraktor.

Selain itu, amalan penggunaan teknologi pintar juga memainkan peranan penting. Penggunaan secara meluas teknologi inovatif sangat diperlukan seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Sistem Bangunan Industri (IBS) dan peranti IoT (Internet of Things), untuk mengoptimumkan proses reka bentuk, pembinaan dan operasi serta meningkatkan kecekapan tenaga secara keseluruhan.

Tambahan dari itu, mematuhi peraturan tempatan yang berkaitan dengan pelepasan karbon dan pembinaan mampan juga amat penting. Ini termasuk memenuhi piawaian dan pensijilan bangunan hijau, seperti LEED (Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar), BREEAM (Kaedah Penilaian Alam Sekitar Penubuhan Penyelidikan Bangunan) atau GBI (Indeks Kitaran Hijau).

Jelas sekali, penglibatan pihak berkepentingan dan komuniti setempat dalam proses pembinaan lestari dengan mempertimbangkan perspektif mereka dilihat sangat membantu dalam mencapai objektif nyahkarbon dalam projek pembinaan. Bukan itu sahaja, penglibatan pihak berkepentingan, termasuk penduduk dan pihak berkuasa tempatan, juga mampu meningkatkan kemampanan sosial projek pembinaan. Perlaksanaan strategi ini tidak boleh dipandang remeh dalam membantu usaha kerajaan dan semua organisasi tempatan dalam mencapai pengurangan yang signifikan dan berkekalan dalam pelepasan karbon sepanjang kitaran hayat pembinaan.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Penyelidik Utama

Centre of Sustainable Infrastructure and Environmental Management (CSIEM)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Riduan Yunus

Penolong Pengarah

Pusat Inovasi dan Komersial (ICC)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 23 Februari 2024:PERKASA USAHA PENYAHKARBONAN KE ARAH PEMBINAAN MAMPAN 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2272453