BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memperoleh keputusan yang membanggakan apabila berjaya melonjak naik ke ranking 132 sekali gus menjadi antara 150 universiti terbaik dunia dalam penarafan UI GreenMetric World University Rankings (UIGWUR) 2023.

UTHM berjaya naik 33 anak tangga berbanding di kedudukan ke-165 pada tahun lalu sekali gus menjadi rekod terbaik yang pernah dicapai oleh UTHM sepanjang penyertaannya sejak tahun 2017.

Manakala bagi kedudukan IPTA/IPTS di Malaysia, UTHM kekal di kedudukan kesembilan daripada 43 penyertaan, dan kekal menjadi antara 10 universiti terbaik di negara ini.

Untuk rekod, penarafan UIGWUR yang diumumkan pada 5 Disember lalu disertai oleh 1,183 universiti dari seluruh dunia.

Penarafan UIGWUR itu merangkumi penilaian inisiatif kelestarian yang dilaksanakan oleh universiti berdasarkan beberapa elemen yang ditetapkan iaitu Tetapan dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan Iklim, Sisa, Air, Pengangkutan serta Pendidikan dan Penyelidikan.

Lebih membanggakan, bagi elemen Pendidikan dan Penyelidikan, UTHM mencatatkan markah penuh 100 peratus dengan kedudukan ranking ke-23 keseluruhan dan ke-2 di Malaysia.

Menurut Pengarah Pejabat Kampus Lestari (SCO),UTHM, Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir proses pengumpulan data dan penyediaan laporan UIGMWUR 2023 telah bermula pada Mac 2023 dan penghantaran laporan serta evidence akhir telah diserahkan pada 30 Oktober 2023.

Tambah beliau, pengumpulan data tersebut telah diselaraskan oleh Prof. Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zin yang melibatkan Penyelaras Data Hijau daripada 27 pusat tanggungjawab dan Pusat Kecemerlangan/Pusat Penyelidikan UTHM.

Manakala proses penyediaan laporan pula telah dilaksanakan oleh SCO bersama Jawatankuasa Pengurusan Kelestarian Universiti (JPKU).

“JPKU adalah terdiri daripada Kluster Sisa dan Kitar Semula yang diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Tong Yean Ghing, manakala Kluster Air diketuai oleh Dr. Amani Filzah Mohd Kamil, Kluster Perjalanan dan Pengangkutan diketuai oleh Dr. Mohammad Nasir Mohamad Taher, Kluster Pendidikan dan Penyelidikan diketuai oleh Dr. Nur Adila Ab. Aziz, Kluster Pembangunan, Iklim dan Daya Tahan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rozlin Zainal, Kluster Bangunan Hijau diketuai oleh Dr. Mohd Azuan Zakaria dank Kluster Tenaga diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Noor Abdullah.

“Setiap ketua kluster telah menyelaras penyediaan laporan bagi setiap elemen penilaian UIGWUR dan mereka dibantu oleh ahli-ahlinya,” jelas beliau.

Selain itu, UTHM turut diberikan penghargaan atas usaha yang telah dilakukan terhadap pengurusan e-waste di kampus menerusi penganugerahan sijil “UI GreenMetric E-Waste Campaign.”

“Kejayaan ini menunjukkan semangat dan komitmen yang diberikan oleh warga UTHM dalam membudayakan amalan kelestarian di kampus semakin meningkat tinggi.

“Secara tidak langsung, inisiatif dan penyertaan seumpama ini mampu meningkatkan lagi imej UTHM di peringkat nasional mahupun global,” katanya.