Tekanan emosi atau tekanan psikologi boleh dikatakan bukan sesuatu yang asing kepada semua individu, malahan ia boleh berlaku tanpa mengira had umur dan kerjaya mereka. Tekanan emosi yang berterusan ke atas individu boleh mengakibatkan penyakit mental yang serius seperti gangguan kecemasan, kemurungan dan skizofrenia. Berdasarkan laporan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, Malaysia mencatatkan peningkatan kemelut kesihatan mental pada tahap menggusarkan iaitu 10.7 peratus pada 1996, kepada 11.2 peratus (2006) dan 29.2 peratus (2015). Tambahan lagi, laporan yang sama juga mendedahkan satu pertiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental. Laporan statistik ini jelas menyokong laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) yang mana turut menunjukkan kadar kemurungan di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

Antara tasik buatan di dalam kampus di universiti awam di Malaysia.

Namun begitu, apa yang lebih merungsingkan adalah apabila beberapa media sosial turut melaporkan statistik tekanan psikologi dalam kalangan mahasiswa telah menunjukkan peningkatan yang ketara, dan keadaan ini disumbang oleh pelbagai faktor akademik dan bukan akademik antaranya seperti keluarga, rakan sebaya, kehidupan kampus, kewangan, tekanan pembelajaran dan pengetahuan berkenaan penyakit mental. Laporan berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukkan peratusan pelajar universiti yang mengalami stres (sederhana  hingga teruk) berada dalam julat 12.9 hingga 21.6 peratus. Kebimbangan ini menjadi semakin ketara apabila baru-baru ini, beberapa universiti penyelidikan terkemuka negara mencapai kadar tekanan pelajar sebanyak 37.7 peratus pada 2018 dan 42.2 peratus pada 2020. Jelasnya, angka-angka ini tidak boleh dipandang sepi dan sewajarnya dijadikan peringatan dan “wake up call” kepada masyarakat sejagat terutamanya komuniti kampus. Kegagalan kita untuk mendepani masalah tekanan psikologi dan kesihatan mental yang kian meruncing dalam kalangan mahasiswa akan memberikan implikasi yang besar kepada negara memandangkan mahasiswa merupakan sumber masa depan negara.

Umum mengetahui kampus merupakan persekitaran yang mampu merangsang pengajaran,  pembelajaran dan pemikiran kreatif. Ia bukan hanya sekadar letakan struktur bangunan institusi, malah lebih dari itu ia secara intelektualnya dapat membina dan meningkatkan semangat dan dan moral pelajar. Bagi membolehkan mahasiswa menikmati proses pembelajaran dengan lebih menyeronokkan, persekitaran kampus yang kondusif adalah wajar disediakan. Persekitaran pembelajaran yang baik perlu menitikberatkan bukan sahaja aspek fizikal, malahan sosial dan psikologi. Justeru itu, menyediakan suasana kampus yang kondusif secara fizikal adalah menjadi satu keperluan utama, yang akan mempengaruhi corak hubungan sosial dan psikologi, sekali gus menjadi antara alternatif pendekatan pencegahan masalah tekanan psikologi dan tekanan emosi dalam kalangan warga komuniti kampus terutamanya mahasiswa.  

Landskap air (water landscape) dilihat sebagai usaha kepada reka bentuk persekitaran kampus yang kondusif. Tasik buatan adalah antara elemen reka bentuk landskap air yang popular, yang merupakan cara terbaik untuk menghias landskap di dalam kampus. Ia bukan sahaja dapat menambah daya tarikan kampus, malahan dapat mewujudkan suasana kedamaian, ketenangan dan keseimbangan psikologi dalam kalangan komuniti kampus. Senario ini turut di sokong oleh dapatan kajian yang telah dilaksanakan oleh Prof Madya Sr. Dr. Azlina Md Yassin, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang mana kajian yang berfokus kepada pembangunan hadapan air (waterfront development) telah menunjukkan bahawa badan air (water body) itu sendiri mampu untuk memberikan impak psikologi (psycic) kepada penggunanya, selain daripada impak pulangan ekonomi melebihi 40 peratus yang terhasil daripada pembangunan yang berkonsepkan pembangunan hadapan air (waterfront development).

Ironinya, landskap air (berkonsepkan tasik buatan) telah menjadi sebahagian dari landskap di kebanyakkan kampus di Malaysia antaranya seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Letakan tasik buatan yang kebanyakan berada di kawasan utama kampus telah menjadikan kewujudannya penting bukan sahaja sebagai santapan mata, malahan menjadi ikon penting dan lambang kemegahan kepada seluruh warga kampus. Penyediaan landskap lembut dan landskap kejur di persekitaran kampus mampu meningkatkan nilai estetika dan fungsi sesuatu kawasan. Penggunaan landskap lembut seperti landskap air ‘water landscape” bertujuan menyeimbangkan persekitaran ke arah usaha mencapai reka bentuk kampus yang lebih kondusif.

Justeru itu, fungsi tasik buatan di dalam kampus perlu dimanfaatkan secara optimum oleh seluruh komuniti kampus dan juga masyarakat sekitarnya. Selain daripada memastikan penyelenggaraan yang berterusan, pihak pengurusan universiti awam juga perlu mengambil cabaran agar sentiasa kreatif untuk menambah baik fungsi dan nilai ekonomik tasik buatan. Ini akan mencapai objektif memanfaatkan penyediaan tasik bukan sahaja sebagai elemen  lanskap di sekitaran kampus, malahan lebih daripada itu adalah sebagai salah satu elemen pencegahan tekanan emosi dan tekanan psikologi dalam kalangan komuniti kampus. Diharapkan, usaha ini akan menjadi permulaan yang baik bagi melahirkan mahasiswa yang sihat fizikal dan mental untuk kelangsungan masa depan negara.

 

 

 

Profesor Madya Sr. Dr. Azlina Md Yassin

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Uiversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 

 

 

Dr. Haidaliza Masram

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Uiversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 19): Universiti wajib ada landskap tasik

 

2. Utusan (utusan.com.my): Universiti wajib ada landskap tasik 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/10/universiti-wajib-ada-landskap-tasik/