Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sifat yang lemah. Ini menjadikan manusia sentiasa memerlukan pertolongan Tuhannya. Ada masanya ada perkara yang kita tidak dapat lakukan sendirian sehingga memerlukan pertolongan orang lain. Itulah fitrah kehidupan. Justeru doa menjadi senjata orang Mukmin dan sumber kekuatan tatkala mereka ditimpa ujian dan musibah. Amalan berdoa adalah salah satu elemen terpenting dalam kehidupan seorang manusia terutamanya umat Islam.  

Hukum berdoa adalah sunat dan sangat digalakkan. Ia juga merupakan satu tanda pengakuan kepada kekuasaan Allah SWT. Perintah berdoa disebut dalam surah al-Baqarah ayat 186:“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) ‘Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan doa mereka apabila ia berdoa kepadaku’. Dalam ayat ini, ia menunjukkan Allah SWT memerintahkan supaya sentiasa beribadah dan berdoa kepada-Nya dan menjanjikan bahawa doa-doa yang dipohon akan dikabulkan. Sebaliknya Allah SWT sangat murka kepada hamba-hamba-Nya yang sombong tidak berdoa dan meminta kepada-Nya seperti disebut dalam surah Ghafir ayat 60: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Kedudukan orang yang berdoa kepada Allah SWT sangat tinggi di sisi-Nya seperti sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia disisi Allah daripada berdoa.” Selain itu juga, Allah SWT sangat mencintai hamba-hamba yang berdoa kepada-Nya. Kerana cinta-Nya itu, Allah SWT memberi hadiah istimewa iaitu mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang berdoa. Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi: “Wahai manusia, selagi engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, aku mengampuni dosamu dan aku tidak akan pedulikan lagi dosamu”. Begitulah hebatnya kelebihan bagi orang-orang yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT yang mengharapkan reda dan mengimpikan syurga-Nya.

Amalan berdoa boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada ketika senang atau susah, di kala suka ataupun duka, secara bersendirian atau berjemaah. Antara tempat-tempat dan waktu yang senang untuk mengamalkan doa dalam kehidupan harian kita adalah seperti berikut:

  • Antara azan dan iqamah.
  • Selepas setiap solat 5 waktu.
  • Sunat qabliyyah sebelum solat Zohor.
  • Antara solat Zohor dan Ashar pada hari Rabu.
  • Ketika dalam sujud dalam solat.
  • Dalam tahayyat akhir sebelum memberi salam.
  • Waktu sahur atau sepertiga malam.
  • Ketika berbuka puasa.
  • Sepanjang hari Jumaat.
  • Ketika khatam al-Qur’an.
  • Ketika hujan sedang turun.
  • Ketika dalam musafir.
  • Di tempat-tempat yang mulia seperti di masjid atau musolla.

Justeru marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan berdoa dalam menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah SWT. Dengan berdoa nescaya hati kita akan bertambah tenang dan hidup akan menjadi lebih bahagia.

Selain itu, berdoa bukanlah semata-mata untuk diri sendiri mahupun keluarga terdekat Sahaja, tetapi amalan saling mendoakan orang lain juga adalah sunnah Rasulullah SAW yang perlu dijadikan ikutan dan teladan oleh setiap umat Islam. Dengan itu, ia dapat mengeratkan hubungan ukhuwwah fillah dan menjalinkan kasih mesra sesama insan lain. Sebagai contoh dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW menyuruh kita mendoakan orang yang bersin. Sabda baginda: “Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut “alhamdulillah”. Dan saudara atau sahabatnya menjawab “yarhamkallah” (semoga Allah merahmatimu). Dan apabila seseorang menyebut kepadanya “yarhamkallah”, maka hendaklah dia menjawab “yahdikumullah wa yuslih b?lakum” (semoga Allah memberi petunjuk dan memperelokkan keadaanmu).”

Dalam riwayat Bukhari, diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa suatu Ketika Nabi SAW memasuki bilik air, lalu beliau meletakkan sebekas air untuk baginda berwuduk. Baginda bertanya: “Siapakah yang meletakkan air ini?”. Setelah baginda diberitahu, baginda pun berdoa: “allahumma faqqihhu fiddin” (ya Allah pandaikanlah dia dalam bidang agama).

Begitu juga tatkala kita mendengar saudara atau sahabat kita ditimpa musibah seperti kemalangan, sakit atau kematian, sunat kita mengucapkan takziah dan mendoakan mereka sebagai tanda simpati kita terhadap apa yang terjadi dengan mengucapkan: “inn? lillahi wa inn? ilaihi r?ji’uun” (sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali). Ucapan lain seperti dalam kitab al-Adhk?r: “a’zamallahu ajrak wa ahsana ‘az? aka wa ghafara li mayyitik” (semoga Allah membanyakkan pahalamu dan memperelokkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu).

Selain itu, kita juga harus membudayakan amalan mendoakan saudara-saudara dan sahabat-sahabat kita atau orang lain yang sering membantu dan membuat kebajikan kepada kita serta sentiasa bersusah senang dengan kita dengan mengucapkan:

  • Jazakallahu khayran (semoga Allah membalas dengan sebaik balasan)- Riwayat Ibnu Hibban.
  • B?rakallahu f?k (semoga Allah memberkati kamu)
  • Allahu yaz?duka khayran (Semoga Allah menambah kebaikan buatmu)
  • Akramakallahu (Semoga Allah memuliakanmu)
  • F? am?nillah (Semoga dalam pemeliharaan Allah)
  • A’?nakallahu/waffaqakallahu (Semoga Allah membantumu/mempermudahkanmu)
  • Sahhalahhu um?rakum Semoga Allah mempermudahkan urusanmu)
  • Syaf?kallahu (Semoga Allah menyembuhkanmu)
  • Allahu yarhamuka (Semoga Allah merahmatimu)
  • Allahu yahfazuka (semoga Allah memeliharamu)
  • Allahu yu’t?kal ‘afiyah (Semoga Allahu memberimu ‘afiah)

Inilah di antara ucapan-ucapan yang mungkin kita amalkan dalam kehidupan seharian kita dengan mendoakan orang-orang yang kita berjumpa mahupun berjauhan dengan kita. Jika kita mendoakan mereka, malaikat juga turut mendoakan kita dengan doa yang sama. Daripada Abu Darda’ r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: “Dan bagimu kebaikan yang sama”.

Begitulah indahnya Islam menggalakkan agar umatnya saling mendoakan tanpa mengira kedudukan dan pangkat sama ada mengenali ataupun tidak. Amalan ini sudah pasti dapat menjalin kasih sayang dan perhubungan yang mesra sesama umat terutamanya mendoakan orang tanpa pengetahuannya itu adalah antara doa yang tidak akan terhalang.

Kita dituntut memulakan doa kita dengan mendoakan Rasulullah SAW dan para keluarga dan sahabat baginda seterusnya mendoakan ibu bapa kita agar diampunkan dosa-dosa, mendoakan anak-anak menjadi anak soleh seperti dalam surah as-Saffat ayat 100: “rabbi hab l? minas s?lih?n (Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang saleh), mendoakan guru-guru dan alim ulamak, bahkan orang yang memusuhi kita termasuk orang bukan Islam dengan doa “allahummahdi qawm? fainnahum l? ya’lam?n (ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui). Fudail bin ‘Iy?d berkata jika doanya mustajab, orang yang pertama yang didoakannya ialah pemimpin kerana jika pemimpin itu baik, nescaya baiklah rakyat dan negara.

Justeru, untuk mendapatkan doa yang mustajab kita mestilah menyempurnakan hak Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan larangan-Nya, mencintai Rasulullah SAW dengan mengikut sunnahnya, beramal dengan al-Quran, mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan sentiasa mengingati mati. Semoga doa kita diterima Allah dan menjadi hamba-Nya yang bertaqwa.

 

 

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)