Perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia adalah dipacu oleh perkembangan serta kemajuan penyelidikan dan inovasi yang dijalankan di institusi pengajian tinggi Malaysia. Ianya bukan sahaja merujuk kepada penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan teknologi, produk dan harta intelek semata-mata, malahan juga merangkumi penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan program akademik yang berinovatif, berdaya saing dan mempunyai permintaan pasaran yang tinggi serta mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan negara, industri dan masyarakat.

Universiti teknikal berperanan sebagai universiti yang mana penerokaan teknologinya berupaya memajukan industri (university where technology advancing the Industry). Universiti teknikal sentiasa menerokai ilmu dengan hikmah dan semangat kebersamaan dalam melahirkan graduan kompeten dan mempunyai nilai jati diri tinggi dalam bidang sains dan teknologi bagi menyumbang tenaga dan kepakaran kepada komuniti industri.

Ahli akademia universiti teknikal perlu sedar dan faham akan kepentingan penyelidikan yang berfokus kepada keperluan industri dan komuniti. Solusi kepada industri adalah dari kepelbagaian teknologi menerusi penerokaan ahli akademia bersama pelajar dan rangkaian kerjasama bersama industri, agensi dan sesama universiti. Satu badan profesional tersohor iaitu OECD (Organization for Economic Cooperation and Development) telah menyatakan bahawa Research and Innovation (R&I) adalah kunci utama untuk pertumbuhan ekonomi kerana inovasi selalunya dikaitkan dengan pengetahuan lanjutan. Hari ini, ekonomi berprestasi terbaik dunia dipacu oleh inovasi pintar dengan kerjasama erat dan pelaburan terjamin antara sektor awam dan swasta.

Transformasi dan hala tuju penyelidikan universiti teknikal di Malaysia perlu mengalami perubahan yang signifikan bagi mendepani era globalisasi teknologi digital yang amat pantas dan cabaran kompetitif yang pesat. Lima aspek penting yang perlu dipertimbangkan dan menjadi fokus dalam transformasi dan hala tuju penyelidikan universiti teknikal di Malaysia iaitu: i) Penyelidikan Translasional; ii)   Penyelidikan Fokus Kepada Solusi Nyata (Tangible), Komersial, dan Praktikal; iii) Penyelidikan Inovatif dan Produktif; iv) Penyelidikan Bersifat Kemahiran Tinggi, Kemahiran Sentuhan, dan Berprestasi Tinggi; dan v) Penyelidikan Kolaborasi Berimpak Tinggi.

Penyelidikan Translasional: Universiti teknikal di Malaysia perlu lebih mengutamakan penyelidikan yang dapat diterapkan secara langsung dalam penyelesaian masalah di industri. Ini dapat dilaksanakan dengan membangunkan kerjasama erat antara universiti dan industri untuk meningkatkan kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pengembangan teknologi. Kerjasama bersama pihak industri dilakukan melalui program penyelidikan yang relevan dengan kehendak dan keperluan industri dan seterusnya ke arah pengkomersialan. Hasil penyelesaian bersama industri perlu diaplikasikan ke dalam universiti seperti pembangunan kurikulum yang mampan dan pembangunan fasiliti dan infrastruktur yang seiring dengan keperluan industri.

Penyelidikan Fokus Kepada Solusi Nyata (Tangible), Komersial, dan Praktikal: Universiti teknikal di Malaysia perlu mengambil langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran hasil penyelidikan. Ini termasuk menggalakkan pemindahan teknologi dan komersialisasi hasil penyelidikan melalui inisiatif seperti perjanjian pelesenan, jualan terus (outright sales) dan penubuhan syarikat terbitan universiti @ spin-off. Penekanan juga perlu diberikan kepada penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi dan pembentangan hasil penyelidikan dalam persidangan antarabangsa. Selain itu, penekanan dan fokus juga perlu diberikan kepada bidang-bidang strategik yang berkaitan dengan pembangunan negara dan masyarakat yang merangkumi bidang-bidang seperti Pembaharuan Tenaga Lestari (Sustainable Renewable Energy), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Cloud Technology, Internet of Things), Bioekonomi, Bahan Termaju (Advanced Materials), Pembuatan Termaju (Advanced Manufacturing), Percetakan 3D (3D Printer), Penyimpanan Tenaga (Energy Storage), Automasi dan Robotik Termaju (Advanced Automation and Robotics), Ekplorasi Minyak dan Gas Termaju (Advanced Oil and Gas Exploration and Recovery), Kenderaan Autonomus (Autonomous Vehicles) dan yang terkini Kecerdasan Buatan (Artifical Intelligent in ChatGPT). Semua bidang tersebut perlu dijadikan tumpuan penyelidikan di universiti teknikal untuk menyokong agenda pembangunan negara dan bagi menyahut cabaran di peringkat global yang amat mencabar dan kompetitif.  Ini bertepatan dengan saranan dari badan antarabangsa UNESCO yang mengatakan bahawa pelaburan dalam sains, teknologi dan inovasi (STI) adalah penting untuk pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial di masa hadapan.

Penyelidikan Inovatif dan Produktif: Universiti teknikal di Malaysia semakin berkembang dengan aktiviti inovasi dan komersialisasi hasil dari projek penyelidikan yang telah tamat dan berdaya maju untuk dikomersialkan. Ia melibatkan penubuhan pusat inovasi, pusat kerjasama dengan industri, kemudahan makmal untuk pengujian dan verifikasi produk, tadbir urus yang efisien bagi membangunkan harta intelek (Intellectual Property/IP) bagi tujuan pengkomersilan. Faktor ekonomi semasa yang agak meruncing memerlukan kepelbagaian sumber kewangan termasuk dari sektor penyelidikan di universiti. Universiti teknikal di Malaysia masih bergantung kepada sumber kewangan yang terhad dari kerajaan dan agensi kerajaan untuk menyokong penyelidikan. Oleh itu, pembudayaan keusahawanan bagi setiap penyelidik perlu giat dilaksanakan agar universiti dapat menjana kewangan sendiri pada masa hadapan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Ini juga disebut dalam amanat 2023 Menteri Kementerian Pengajian Tinggi yang mengatakan bahawa semua IPT perlu memperhebat bidang penyelidikan dan inovasi agar dapat menyumbang kepada penerokaan ilmu serta pengkomersilan teknologi bagi mendepani cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Penyelidikan Bersifat Kemahiran Tinggi, Kemahiran Sentuhan dan Berprestasi Tinggi: Universiti teknikal di Malaysia perlu memberikan penumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi yang dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat, industri dan negara. Ini termasuk penyelidikan yang dapat menyumbang kepada inovasi teknologi, pemindahan teknologi, pengkomersialan hasil penyelidikan serta penyelesaian kepada cabaran dan isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar. Bagi merealisasikan hasrat itu, perancangan dan strategi yang mampan perlu dibangunkan bagi meningkatkan kualiti penyelidikan melalui pelbagai inisiatif. Ini termasuk peningkatan dalam penyediaan infrastruktur penyelidikan yang moden, seperti makmal bertaraf dunia, pusat penyelidikan bertaraf tinggi dan fasiliti penyelidikan yang canggih. Selain itu, universiti teknikal juga perlu melatih dan membina penyelidik yang berkelayakan dan berpengalaman untuk meningkatkan kualiti penyelidikan dalam bidang-bidang strategik yang berkaitan dengan pembangunan negara.

Penyelidikan Kolaborasi Berimpak Tinggi: Universiti teknikal di Malaysia perlu menggalakkan kolaborasi penyelidikan antara penyelidik, universiti, industri dan masyarakat. Ini termasuk kerjasama penyelidikan dengan pihak industri, agensi kerajaan dan institusi penyelidikan antarabangsa. Kolaborasi ini dapat meningkatkan akses kepada sumber dana penyelidikan yang lebih besar, serta mempercepat pemindahan teknologi dan komersialisasi hasil penyelidikan. Kolaborasi penyelidikan dan kerjasama di peringkat antarabangsa perlu lebih aktif bagi meningkatkan visibiliti universiti teknikal di peringkat global. Peningkatan tahap keilmuan dan pengalaman penyelidik juga akan lebih berkualiti dan meyakinkan pada masa akan datang. Selain itu, ia akan memberikan perkongsian dan akses kepada sumber kepakaran, teknologi dan infrastuktur bersama dengan pakar luar. Dalam pada itu juga perancangan dan pembangunan sumber tenaga kepakaran penyelidik perlu diberi tumpuan utama terhadap pembangunan sumber tenaga manusia yang berkualiti dalam bidang penyelidikan. Ini melibatkan peningkatan kualiti penyelidik muda serta meningkatkan penglibatan penyelidik di peringkat antarabangsa dan seterusnya ke arah pencapaian status ‘Nobel Laurete’ untuk perancangan jangka masa panjang.

Hari ini negara melaksanakan model Malaysia MADANI, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjadi asas dasar pentadbiran negara berteraskan enam rukun dan salah satunya menyentuh perihal ‘Daya Cipta.’ Model tersebut amat relevan dengan R&I di universiti teknikal khusus nya bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara yang meningkatkan kesejahteraan rakyat dan daya saing negara.  

Universiti Teknikal Malaysia yang dikenali sebagai MTUN (Malaysia Technical University Network) telah ditubuhkan mengikut IPTA model dua yang berorientasi pembangunan bakat yang berfokus kepada industri dan komuniti dalam memacu ekonomi baharu. Selaras dengan itu, MTUN seharusnya mengadaptasi model penyelidikan berfokus dan transversal bagi  berbentuk multi disiplin dalam menyelesaikan isu dan pemasalahan industri dan komuniti pada masa hadapan.

 

 

 

Profesor Dr. Mohd Amri Lajis

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Profesor Dr. Rabiah Ahmad

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di: 

  1. Utusan Malaysia (muka surat:32) : Peranan universiti teknikal sangat kritikal sekarang, artikel penulisan Prof. Dr. Mohd Amri bin Lajis, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), UTHM dan Prof. Ts. Dr. Rabiah binti Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UTHM.