Apakah erti merdeka yang sebenar? Kemerdekaan yang sebenar bukan hanya bebas daripada penjajah semata-mata.  Dari aspek kehidupan, merdeka meliputi aspek tingkah laku dan emosi atau pun minda seseorang.  Dalam kehidupan pasti ada pasang surut dan pahit manisnya hidup. Sama seperti iklim akan ada melalui musim perubahan, pertumbuhan dan perkembangan diri.  Adakala kita terperangkap di dalam laluan yang gelap dan kehilangan cahaya di hujung terowong. Situasi ini adalah perkara biasa kerana anda perlu menjadi versi terbaik diri anda. Bagaimana anda boleh menjadi versi terbaik diri anda walaupun anda sedang melalui kehidupan yang mencabar? Ada beberapa tip yang boleh membantu anda melihat diri melalui sudut kesukaran dan keluar menjadi individu yang hebat.

Minda positif

Mempunyai minda atau pandangan yang positif boleh dianalogikan seperti melihat gelas separuh penuh atau memahami bahawa terdapat sisi terang dalam kehidupan. Berfikiran positif membawa anda melihat keadaan terbalik kepada situasi yang buruk dan mempercayai ada hasil yang positif serta bermanfaat yang akan anda peroleh. Mempunyai minda yang positif bukanlah bermakna anda gembira sepanjang masa dan hanya bercakap perkara yang positif.  Ia juga bukan bermakna anda tidak akan mengalami emosi negatif.  Fikiran, matlamat, impian, cita-cita dan tindakan anda dikuasai oleh minda.  Mewujudkan pemikiran dan pandangan negatif dalam kehidupan akan memperlahankan keupayaan untuk mencapai matlamat dan impian, menghalang daripada mencuba perkara baharu, enggan menerima perubahan dan gagal mendorong diri ke hadapan.

Mencipta versi terbaik diri bermula dengan mengubah minda. Fikiran adalah kompas dalaman yang paling berkuasa yang seseorang miliki. Analogi mudah untuk menjadi versi terbaik diri adalah dengan mengandaikan diri sebagai sebuah rumah. Minda yang positif adalah asas yang diperlukan untuk menyokong komponen yang lain seperti dinding, bumbung, tingkap dan pintu. Minda yang positif perlu untuk menyokong keseluruhan diri seperti mana komponen lain sama-sama menyokong sebuah rumah.

Kenali diri anda

Apa yang diinginkan dalam kehidupan? Apa matlamat anda? Apa yang anda mahu lakukan sekarang? Senaraikan keinginan paling dalam yang anda mahukan. Jika anda tidak tahu apa yang anda mahukan dalam hidup ini, anda tidak akan mencapai kepuasan dalam hidup. Kekeliruan dan tidak jelas tentang kehidupan akan menjadikan anda seorang yang pemarah dan cepat letih. Dorong diri anda ke haluan yang jelas berdasarkan keinginan anda dalam hidup.

Senaraikan beberapa matlamat yang anda inginkan

Anda yang bertanggungjawab menentukan arah hidup anda. Anda juga bertanggungjawab dalam cara anda bertindak mengendalikan situasi dan cara menentukan haluan hidup. Matlamat dan membuat perancangan adalah cara terbaik untuk memulakan proses yang membawa anda dari titik A ke titik B. Matlamat dan rancangan tidak semestinya sempurna tetapi anda yakin untuk mencapainya.  Matlamat harus realistik dan ada tempoh untuk dicapai. Spesifik matlamat anda dan elakkan matlamat yang luas dan kabur. Buat perancangan dan jangan terlalu risau tentang kesempurnaan kerana perancangan anda mungkin akan berubah mengikut keadaan. Perancangan pada asasnya adalah pemangkin untuk membantu anda berusaha mencapai matlamat.

Terima perubahan walaupun ia tidak selesa

Tinggalkan zon selesa anda sekiranya ingin melihat perubahan.  Sesetengah individu tidak sukakan perubahan, lebih selesa dengan apa yang dilalui dan cara hidup yang terbiasa.  Situasi ini tidak akan membawa ke tempat yang anda inginkan. Tanya pada diri adakah anda ingin melalui ketidakselesaan akibat perubahan atau ingin kekal di posisi yang selesa dan tidak mencapai impian dan matlamat.  Perubahan memang suatu yang tidak disukai namun jika anda berjaya mengatasi ketidakselesaan ini, anda akan mencapai banyak perkara yang hebat.

Jauhi diri daripada aura negatif

Kadang kala hidup anda akan menjadi sedikit rumit apabila anda dikelilingi oleh individu yang merugikan. Ada sesetengah individu yang tidak selesa dengan perubahan diri sendiri dan tidak melakukan apa-apa untuk memperbaiki diri.  Mereka juga tidak selesa melihat anda cuba mencapai sesuatu yang hebat.  Belajar untuk menjauhkan diri daripada orang yang mencipta persekitaran toksik untuk anda. Kenal pasti perkara yang menghalang anda mencapai kejayaan dari segi fizikal, mental dan emosi.

Pelaburan diri

Anda adalah aset terbesar diri anda. Terdapat banyak cara anda boleh melabur untuk diri sendiri. Tiada istilah pembaziran wang, masa dan usaha dalam anda membuat pelaburan terhadap diri sendiri.  Buatlah pelaburan dalam aspek kesihatan seperti makan makanan yang berkhasiat, bersenam dan tidur yang mencukupi.  Melabur untuk peningkatan pengetahuan dengan mengikuti kursus, membaca buku untuk pembangunan diri atau mencuba sesuatu yang baharu.  Anda juga boleh membuat pelaburan dari sudut perhubungan dengan menghubungi rakan lama yang boleh memberikan kegembiraan atau menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.  Antara pelaburan lain yang anda boleh lakukan adalah pelaburan kewangan, kerohanian, gaya hidup, pekerjaan dan sebagainya.

Pelihara kesihatan emosi

Emosi adalah ekspresi kepada perasaan dan sebagai manusia normal anda mempunyai pelbagai bentuk emosi. Oleh itu mempunyai minda positif bukanlah bermakna tiada  emosi yang akan dirasai. Tidak mengapa untuk berasa sedih, kecewa, sakit hati, gembira, marah ataupun keliru. Semua emosi ini adalah normal dan merupakan sebahagian daripada kehidupan. Anda digalakkan untuk merasai apa jua bentuk perasaan yang muncul.

Capai matlamat

Istiqamah adalah kunci dalam banyak perkara yang melibatkan kejayaan.  Ia juga yang akan membawa anda ke tempat yang ingin tuju.  Bayangkan anda ingin bergerak dari titik A ke titik B dan berjalan adalah satu-satunya cara anda. Jika anda kekal istiqamah dengan mengambil tiga langkah setiap hari insya Allah anda akan sampai ke titik B.  Namun jika anda berputus asa, terus berfikir tanpa bertindak dan mengira jumlah langkah untuk ke sana ia tidak akan membawa anda ke mana-mana. Istiqamah adalah konsistensi dalam mencapai matlamat dan yakin anda akan mencapainya.  Luangkan masa setiap hari untuk menilai matlamat, bertindak dan bersabar untuk melihat hasilnya.

Kesimpulan

Pemikiran positif bukanlah bermakna tiada emosi lain dan bukan juga gembira sepanjang masa. Pemikiran positif memudahkan anda melihat sisi yang lebih cerah dalam situasi yang sukar agar anda mampu mencapai keinginan terbesar dalam hidup. Mewujudkan minda negatif dalam hidup akan menghalang anda melihat kehidupan dengan lebih ceria, menolak peluang yang datang, gagal mencapai matlamat dan sukar mencipta kehidupan yang anda inginkan. Dalam hidup ini tidak menjanjikan kehidupan yang sentiasa mudah dan gembira.  Tiada cara yang mudah untuk menjadikan diri anda seorang yang cemerlang. Untuk menjadi versi terbaik diri anda bukanlah suatu destinasi tetapi ia adalah perjalanan yang berterusan yang memerlukan anda :

  1. Menzahirkan minda yang positif dengan mengubah cara pemikiran anda
  2. Membuat perubahan dan penyesuaian dalam hidup
  3. Mengetahui bahawa anda akan sampai ke destinasi anda walaupun terdapat cabaran dan halangan
  4. Sentiasa istiqamah untuk menjadi yang terbaik

 

 

 

Dr. Noraishah Daud

Pusat Kaunseling Universiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)