Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, Iman Fitri Ismail

Pasukan AstroPioneers, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih Anugerah Inovasi Terbaik bagi kategori ‘Universiti’ ketika menyertai Malaysia Rocket Competition 2023 (MRC 2023) pada 23 dan 24 Ogos 2023 lalu.

Pertandingan yang berlangsung di Felcra Seberang Perak, Perak itu disertai lima universiti yang mempertaruhkan teknologi roket perum masing-masing.

Turut serta, sembilan sekolah menengah dari tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Johor.

AstroPioneers yang diketuai Muhammad Fathurrahman Mawi dianggotai oleh tujuh pelajar FKMP termasuk dua pelajar pasca siswazah.

Mereka dibimbing oleh dua pensyarah iaitu Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin dan Ts. Dr. Mohd Fadhli Zulkafli.

Menurut Dr. Ahmad Hamdan, pertandingan itu diadakan bertujuan untuk memupuk minat pelajar sekolah berkaitan teknologi roket perum dan menguji kefahaman serta kemahiran pelajar universiti membangunkan teknologi roket tersebut.

Tambah beliau sebelum menyertai pertandingan, pasukan tersebut berjaya menghasilkan sendiri reka bentuk roket, sistem telemetry dan sistem payung terjun roket.

Selain itu, AstroPioneers juga berjaya membimbing pasukan Sekolah Menengah Tinggi Batu Pahat (HSBP) sehingga mampu memenangi Anugerah Tempat Pertama bagi kategori ‘Sekolah.’

“Pihak kami merasa sangat gembira kerana program pemindahan ilmu bersama HSBP yang telah diadakan pada 19 Ogos 2023 lalu berjaya membuahkan hasil.

“Kejayaan ini telah memberi suntikan semangat kepada AstroPioneers dan pasukan HSBP untuk terus meneroka teknologi roket untuk manfaat negara,” katanya.

Kejayaan seumpama ini memberi inspirasi kepada UTHM untuk terus komited meneroka ilmu teknologi roket, seterusnya berkongsi kepada masyarakat agar nilai keilmuan terus mekar dalam kalangan generasi muda.

 

Pasukan UTHM (kanan) bersama pasukan HSBP (kiri) ketika menyertai Malaysia Rocket Competition 2023.