Sektor pertanian merupakan antara industri yang tertua di dunia. Rekod peradaban manusia yang terawal dijumpai adalah terletak di Lembah Nil, Lembah Tigris-Euphrates, Lembah Indus dan Hwang-Ho. Tamadun awal ini terletak di kawasan lembah sungai kerana mempunyai ciri-ciri tanah yang subur, bekalan air dan memudahkan perhubungan. Manusia pada masa itu berusaha dan mengupayakan persekitaran mereka untuk membangunkan aktiviti pertanian dan penternakan yang merupakan sumber asas kepada kelangsungan hidup. 

Sektor pertanian pada alaf baharu menyaksikan perkembangan begitu mengujakan dengan kejayaan industri asas tani di beberapa negara sekitar Asia Tenggara. Filipina merupakan antara negara pertanian yang berjaya dan digelar sebagai “Mangkuk Beras” di Asia Tenggara. Begitu juga dengan Thailand yang menjadi negara pengeluar beras yang terutama di Asia Tenggara. Teknologi pertanian dan galakan daripada kerajaan dalam meningkatkan aktiviti pertanian khususnya padi menjadikan kedua-dua negara ini pengeksport utama beras, selain hasil-hasil pertanian yang lain.

Malaysia adalah sebuah negara yang subur dan mempunyai kekayaan hasil semula jadi yang tinggi. Tanah yang luas, sungai yang mengalir di setiap negeri serta mempunyai kapasiti penduduk yang tinggi iaitu 32.7 juta orang (2022). Kadar kelahiran juga turut menunjukkan peningkatan positif ekoran sistem kesihatan yang semakin baik. Menurut Laporan Perangkaan Demografi, Jabatan Perangkaan Negara 2023, jumlah kelahiran hidup di Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 13 peratus kepada 105,961 kelahiran pada suku tahun kedua tahun ini, daripada 93,799 kelahiran pada suku tahun kedua 2022.

Ironinya jumlah penduduk yang ramai dan kadar kelahiran yang tinggi menggambarkan pentingnya keperluan sumber makanan yang mencukupi, mampu dimiliki, selamat dan Lestari. Isunya, sejauh mana Malaysia mampu memastikan sumber makanan di Malaysia mudah diperoleh, mampu milik dan selamat? Isu ini membawa kepada peranan kerajaan dan pihak-pihak yang mempunyai autoriti dalam memastikan sekuriti makanan (food security) di Malaysia. Sehingga ke hari ini kita masih mengimport bekalan beras daripada luar negara. Isu mengimport beras dari negara jiran bukan perkara baharu, dan ia berlaku sehingga ke hari ini. Ini menjelaskan bahawa sumber beras tempatan tidak mencukupi untuk menampung permintaan rakyat. Beras yang diimport pula menunjukkan harga yang lebih tinggi daripada beras tempatan. Dengan kata lain, Malaysia masih belum mandiri daripada aspek bekalan makanan ruji ini. Begitu juga dengan sumber-sumber makanan lain seperti sayuran, buah-buahan, hasil penternakan seperti ayam dan ikan. Mengimport makanan bukanlah  penyelesaian yang muktamad. Dalam jangka masa yang singkat ia adalah kaedah yang baik. Namun, kita perlu melakukan penyelesaian lebih daripada itu. Ini kerana kebergantungan yang tinggi kepada sumber makanan import amat merugikan rakyat kerana mereka terpaksa membayar harga yang lebih tinggi berbanding harga tempatan.

Pemerkasaan industri asas tani telah sekian lama dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, output daripada pemerkasaan ini masih kurang memberasangkan. Ini terbukti daripada laporan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menunjukkan sektor pertanian masih jauh ketinggalan dalam arus pemerkasaan. Ini berikutan sektor ini  mencatatkan 0.9 peratus  bagi suku tahun pertama 2023. Peratusan ini adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan sektor-sektor lain seperti Perkhidmatan 7.3 peratus, Pembuatan 3.2 peratus, Pembinaan 7.4 peratus, Perlombongan dan Kuari 2.4 peratus (Q1 2023). Daripada statistik ini menjelaskan kepada kita, apakah strategi-strategi yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebelum ini tidak berjaya? Atau tidak mendapat sambutan daripada para petani?.Ini adalah sesuatu yang harus difikirkan oleh kerajaan baharu bagi memastikan sekuriti makanan di Malaysia terjamin.

Menoleh ke belakang, kita sebenarnya sudah lama meneroka dan membangunkan sektor pertanian. Sektor ini telah “dipasak” semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi. Perdana Menteri di bawah pimpinan Tun Abdul Razak, contohnya telah menawarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan serampang dua mata iaitu “Membasmi kemiskinan dan Menyusun semula Masyarakat”. Antara inovasinya adalah Rancangan Buku Hijau yang telah dilancarkan pada 20 December 1974.  Kecemerlangan ini boleh dilihat melalui Rancangan Buku Hijau yang menumpukan perhatian kepada penggunaan tanah yang sepenuhnya, tanaman jangka pendek (selingan dan bukan selingan), perkebunan cara berkelompok, rancangan ternakan, rancangan pelihara ikan air tawar, pemasaran yang baik dan projek-projek kecil. Matlamat rancangan ini ialah menambahkan pengeluaran bahan-bahan makanan supaya cukup untuk keperluan negara, menambahkan pendapatan rakyat luar bandar sebagai usaha mengurangkan tekanan inflasi dan menggalakkan kerjasama rakyat, wakil rakyat dan pegawai kerajaan supaya lebih cergas melibatkan diri dalam usaha-usaha pembangunan. Hasilnya rakyat dapat menikmati pembangunan yang sejahtera. Beliau telah berjaya membawa sektor pertanian kepada tahap yang sangat cemerlang

Justeru, memperkasa dan melestarikan sekuriti makanan di Malaysia perlukan satu kerangka yang boleh menjelaskan hala tuju dan platform yang boleh bangunkan bagi memastikan strategi-strategi pemerkasaan dapat dijajarkan mengikut acuan yang diinginkan. Pemerkasaan ini perlu mengambil kira penyatuan tadbir urus di peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana perihal tanah adalah berada di bawah kerajaan negeri. Sudah tiba masanya, dokongan dan polemik politik dalam kalangan pemimpin diketepikan, demi memastikan keselanjaran proses pemerkasaan sektor tani demi kesejahteraan rakyat terjamin.

Antara pendekatan yang boleh dilakasanakan adalah tanah-tanah pertanian yang terbiar harus diusahakan, kekang penukaran status tanah pertanian kepada pembangunan (namun, bukanlah kita anti pembangunan), beri galakan dan latihan kepada petani, perkenalkan teknologi dengan menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti penyelidikan, jadikan sektor tani sebagai sektor pilihan dan diminati oleh graduan, perkenalkan semula konsep mini estet dan diskuan cukai tanah pertanian. Ini merupakan sebahagian contoh-contoh yang boleh dilaksanakan secara tuntas kepada sektor pertanian. Pemerkasaan ini bukan sahaja menyumbang kepada KDNK negara bahkan dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup para petani. Rumusnya pemerkasaan jaminan makanan telah lama dijalankan. Walau bagaimanapun ia perlu diberi nafas baharu supaya perubahan masa yang melibatkan teknologi dan kepakaran dapat dimanfaatkan untuk kelestarian bersama.

 

 

 

Prof. Madya Dr. Haryati Shafii | PhD Pengurusan Persekitaran

Penyelidik Utama CSIEM | Jab. Pengurusan Pembinaan (JPP)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,  (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat:18), 18 Ogos 2023 : Usah Pinggir Sektor Tani Negeri PN oleh Prof. Madya Dr. Haryati binti Shafii, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, (FPTP) UTHM

 

2. Utusan Online (utusan.com.my), 18 Ogos 2023 : Usah Pinggir Sektor Tani Negeri PN oleh Prof. Madya Dr. Haryati binti Shafii, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, (FPTP) UTHM

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/08/usah-pinggir-sektor-tani-negeri-pn/

Usah pinggir sektor tani negeri PN