Menurut Bank Dunia, ekonomi global berada dalam kemelesetan pada 2023 dan banyak negara terjejas menyebabkan kelembapan ekonomi di seluruh dunia. Ditambah pula dengan mata wang tempatan terus kekal lemah berbanding dengan mata wang utama. Rakyat Malaysia perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia bagi membantu menggerakkan ekonomi domestik untuk menghadapi kelembapan ekonomi global.

Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) adalah salah satu inisiatif yang berkesan dalam memperkasa ekonomi negara melalui sokongan kepada produk tempatan. Ia bertujuan untuk menggalakkan pengguna di negara ini untuk membeli dan menyokong produk buatan Malaysia. KBBM perlu diperkasakan dan diteruskan kerana bertepatan dan sangat signifikan bagi mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa khususnya untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik. KBBM telah menjadi platform penting untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan tempatan dan menyokong pengusaha tempatan dengan harapan dapat meningkatkan perbelanjaan domestik dan membantu pengusaha tempatan menghadapi kelembapan ekonomi semasa. KBBM mampu membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, termasuk mendorong pertumbuhan ekonomi, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, menyokong PKS tempatan, serta memperkukuhkan produk tempatan.

Menurut kajian, sepanjang pelaksanaan KBBM pada tahun 2019 hingga 2021, terdapat peningkatan yang signifikan dalam penjualan produk tempatan di pasar domestik. Misalnya, penjualan produk kraf tangan tempatan meningkat sebanyak 30 peratus setiap tahun sejak pelancaran KBBM. Sokongan kepada produk tempatan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import, terutama dalam sektor makanan dan bahan mentah. Ini akan menjadikan negara lebih berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran ekonomi global. Oleh itu, masyarakat perlu diberi kesedaran tentang pentingnya membeli produk tempatan dan impak positif yang boleh dihasilkan kepada ekonomi negara.

Kesedaran

KBBM memerlukan kesedaran dan komitmen daripada semua pihak. Pengguna perlu lebih prihatin dan peka terhadap kepentingan menyokong produk tempatan. Ini melibatkan perubahan sikap dan memberi lebih keutamaan kepada produk buatan Malaysia. Di samping itu, kerajaan juga perlu terus memberikan sokongan penuh kepada industri tempatan untuk meningkatkan daya saing mereka dan meluaskan  pasaran. Selain itu, kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada pengguna yang menyokong produk tempatan. Contohnya, pengguna boleh diberikan diskaun apabila mereka membeli produk tempatan dalam jumlah tertentu.

Semangat Patriotisme

Seiring dengan itu, KBBM juga berperanan dalam memperkukuhkan identiti kebangsaan. Melalui kempen ini, pengguna diberi kesedaran tentang kepentingan menyokong produk tempatan sebagai semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara. Perasaan bangga terhadap produk Malaysia akan memberi kesan positif kepada pengusaha tempatan dan memberi mereka semangat untuk terus memajukan perniagaan mereka. Selain itu, pengguna yang menyokong produk tempatan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara. Ini adalah penting dalam memperkasakan ekonomi negara, kerana semangat patriotisme memainkan peranan penting dalam memajukan negara ke hadapan. Sebagai contoh, penduduk Korea Selatan menunjukkan patriotisme ekonomi dengan memberikan sokongan yang tinggi kepada jenama tempatan mereka dan cenderung menggunakan produk teknologi buatan tempatan seperti telefon pintar, perkakas elektronik, produk kosmetik dan perisian.

Perbelanjaan domestik

KBBM dapat meningkatkan perbelanjaan domestik. Dengan membeli produk tempatan, ia dapat menggerakkan ekonomi domestik, dan ini dapat memberi kesan domino yang positif. Pengusaha tempatan dapat meningkatkan jualan produk mereka, yang akan membantu mereka untuk memajukan perniagaan mereka, memberi peluang pekerjaan dan manfaat kepada masyarakat setempat. Aliran wang dalam pasaran domestik juga akan memberi kesan yang positif kepada industri lain yang berhubung kait, dan kesan berantai ini mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor ekonomi. Pembelian produk tempatan juga membantu mengurangkan defisit perdagangan negara. Jika lebih banyak produk tempatan digunakan dan dibeli oleh rakyat Malaysia, negara akan kurang bergantung kepada import dari negara luar dan menyokong keseimbangan perdagangan.

Ekonomi

Dengan permintaan yang bertambah dalam pasaran domestik, pengusaha tempatan dapat meningkatkan pengeluaran mereka untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mendorong sektor-sektor yang terlibat untuk berkembang. Menurut data, eksport produk tempatan meningkat sebanyak 12 peratus selepas KBBM dilancarkan. Sebagai contoh, penjualan produk tempatan seperti makanan, barangan kraf, dan pakaian bercorak batik meningkat sebanyak 15 peratus pada tahun 2021 setelah pelaksanaan KBBM.

Mengurangkan import

Sokongan kepada produk tempatan juga membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import. Dengan membeli barangan buatan Malaysia, negara dapat mengurangkan aliran wang yang keluar daripada negara. Ini membantu menyelamatkan mata wang negara dan meransang pertumbuhan industri tempatan untuk menjadi lebih kompetitif.

Penjenamaan

Melalui KBBM, terdapat pelbagai inisiatif yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang kepentingan sokongan terhadap produk tempatan. Kempen ini tidak hanya memberikan maklumat tentang produk-produk tempatan yang ada, tetapi juga menggalakkan penjenamaan yang lebih baik bagi pengusaha tempatan. Dengan cara ini, produk tempatan dapat terus bersaing dengan produk luar melalui penjenamaan yang menarik.

Pemasaran kreatif

Selain itu, KBBM perlu mengadakan kempen pemasaran kreatif untuk menarik minat pengguna. KBBM juga perlu meningkatkan kesedaran tentang produk tempatan dalam kalangan pengguna. Melalui aktiviti promosi dan pameran seperti Karnival Jualan Kempen Beli Barangan Malaysia, produk-produk tempatan dapat dipromosikan dengan lebih berkesan kepada orang ramai. Pemasaran yang lebih luas terhadap produk tempatan akan memberi peluang kepada pengguna untuk mengetahui kualiti dan keunikan produk tersebut. Dengan kesedaran yang tinggi, pengguna akan lebih cenderung untuk membeli produk tempatan dan menyokong industri tempatan.

Manfaat kepada ekonomi setempat

Sokongan kepada produk tempatan juga memberi kesan langsung kepada pengusaha tempatan dan komuniti setempat. Banyak PKS akan mendapat manfaat daripada peningkatan jualan hasil daripada KBBM. Keuntungan ini membolehkan mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka, menambah peluang pekerja, dan memberi manfaat kepada ekonomi setempat.

Peluang pekerjaan

Tidak hanya itu, sokongan kepada produk tempatan turut memperkukuhkan ekosistem perniagaan domestik. Permintaan yang lebih tinggi terhadap produk tempatan akan membuka peluang pekerjaan baru dalam pelbagai sektor pembuatan, pemasaran, dan perkhidmatan. Peningkatan dalam angka pekerjaan akan membantu mengurangkan kadar pengangguran dan memberikan stabiliti ekonomi kepada masyarakat. KBBM berperanan dalam memajukan PKS. PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan memberikan sumbangan yang signifikan dalam sektor pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi. Dengan lebih banyak sokongan kepada produk tempatan, PKS akan dapat berkembang. Data menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus dalam penambahan pekerjaan di sektor ini dalam tempoh satu tahun selepas pelancaran KBBM. KBBM juga memberi kesan positif kepada sosial ekonomi. KBBM juga memberi manfaat kepada kumpulan sosial ekonomi kepada yang kurang berkemampuan seperti B40. Menurut data, program sokongan kepada produk tempatan telah memberi manfaat kepada lebih daripada 50,000 keluarga miskin dengan menyediakan peluang pekerjaan.

Daya saing

Selain memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi, KBBM juga memberi peluang untuk pengusaha tempatan meningkatkan kualiti dan inovasi produk tempatan. Pengusaha tempatan perlu meningkatkan kualiti dan kreativiti produk mereka untuk memenuhi kehendak pasaran. Inisiatif ini mendorong pengusaha tempatan untuk sentiasa memperbaiki produk mereka, menjadikannya lebih baik. Data dari Suruhanjaya Hak Cipta Malaysia menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 15 peratus dalam pendaftaran hak cipta untuk produk tempatan selepas KBBM dilancarkan pada tahun 2017. Ini menunjukkan bahawa pengusaha tempatan semakin mengutamakan kualiti dan produk yang lebih inovatif bagi menarik pengguna. Data juga menunjukkan terdapat peningkatan kepuasan pengguna. Menurut kajian, 85 peratus pengguna telah menyatakan bahawa mereka lebih berpuas hati dengan kualiti produk tempatan berbanding dengan produk import. Data ini menunjukkan bahawa pengguna semakin yakin dengan produk buatan Malaysia, dan ini mendorong mereka untuk terus menyokong produk tempatan.

Pendapatan kerajaan

Apabila kita membeli produk buatan Malaysia, sebahagian daripada hasil jualan akan diberi kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan duti. Hasil daripada cukai ini dapat digunakan untuk membina infrastruktur baru dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik untuk rakyat. Oleh itu, setiap pembelian kita adalah sumbangan langsung kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Cabaran

Walau bagaimanapun, KBBM juga menghadapi beberapa cabaran dalam usaha memperkuatkan ekonomi negara melalui sokongan produk tempatan. Salah satu cabaran utama adalah perbandingan harga antara produk tempatan dan produk import. Pengguna masih lebih cenderung untuk membeli produk import yang lebih murah daripada produk tempatan. Oleh itu, adalah penting untuk syarikat tempatan terus meningkatkan kualiti dengan harga yang kompetitif agar ia dapat bersaing dengan produk luar. Selain itu, kesedaran dan pemahaman masyarakat tentang pentingnya sokongan kepada produk tempatan masih perlu ditingkatkan. Kerajaan dan pihak berkepentingan perlu terus mengadakan kempen dan program yang efektif untuk meningkatkan kesedaran ini. Pengguna juga perlu difahamkan bahawa sokongan mereka kepada produk tempatan adalah satu bentuk sumbangan dalam memperkasakan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia. KBBM mampu memperkasakan ekonomi negara melalui sokongan kepada produk tempatan. Sokongan yang diberikan oleh masyarakat mampu menyumbang kepada pertumbuhan industri tempatan, peningkatan peluang pekerjaan, dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import. Walaupun KBBM menghadapi beberapa cabaran, kesedaran dan sokongan dari masyarakat adalah kunci kejayaan dalam memperkasakan sokongan produk tempatan. Dengan usaha berterusan daripada pihak berkepentingan dan kesedaran masyarakat yang tinggi, KBBM akan terus berperanan sebagai pemangkin dalam pembangunan ekonomi negara.

Kesimpulannya, Kempen Beli Barangan Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi negara melalui sokongan kepada produk tempatan. Melalui kempen ini, aliran wang dalam pasaran domestik ditingkatkan, daya saing industri tempatan diperkasakan, identiti kebangsaan diperkukuhkan, dan kesedaran pengguna tentang produk tempatan ditingkatkan. Walau bagaimanapun, kesinambungan KBBM memerlukan usaha berterusan dari pelbagai pihak, termasuk kerajaan, pengusaha tempatan, dan masyarakat. Dengan sokongan dan kesedaran yang tinggi, kita dapat memperkasakan lagi ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi kelembapan ekonomi dunia.

 

 

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)