Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, sejumlah 1,829 kes kebankrapan telah didaftarkan sehingga Mei 2023. Antara penyumbang utama kepada statistik ini ialah mereka yang berusia antara 30 hingga 60 tahun iaitu lebih dari 90 peratus daripada jumlah kes yang didaftarkan. Percaya atau tidak? Antara punca kebankrapan tertinggi yang direkodkan adalah kegagalan membayar balik hutang peribadi.

Sebab utama rakyat Malaysia membuat pinjaman peribadi antaranya adalah untuk membiayai kos kecemasan, percutian, perkahwinan, deposit kereta atau rumah. Tahukan anda bahawa terdapat cara bagaimana untuk elak diri anda terjebak dari membuat pinjaman peribadi tersebut? Jom saya kongsikan.

Pertama, ukurlah baju di badan sendiri. Masyarakat kita sering dimomokkan dengan gaya hidup sebagai penentu status seseorang itu di dalam masyarakat. Contohnya seseorang eksekutif bergaji RM10,000 sebulan, mestilah mampu beli kereta jenama antarabangsa yang harganya lebih dari RM150,000. Sedangkan hakikatnya, penasihat kewangan akan menyarankan golongan ini untuk membeli kereta yang harganya tidak lebih dari 10 hingga 12 kali ganda gaji yang diterima. Sama juga dengan mentaliti masyarakat yang suka mengadakan majlis perkahwinan di luar kemampuan sebenar keluarga, semata-mata untuk menjaga imej masing-masing. Adalah lebih baik duit yang digunakan untuk berlebih-lebihan di dalam hidup ini digunakan untuk perancangan masa hadapan yang memberikan pulangan positif seperti membeli rumah dan menabung untuk pengajian anak-anak.

Seterusnya, buat pinjaman yang menjanjikan pulangan pada masa akan datang. Cuba kira apakah pulangan intrinsik (dalaman) atau ekstrinsik (luaran) yang bakal diberikan oleh pinjaman yang dibuat. Sebagai contoh, pinjaman dibuat bagi tujuan deposit pembelian rumah pertama. Pulangan bagi pinjaman ini (dalam jangka masa panjang) adalah dalam bentuk sebuah rumah untuk dijadikan tempat berteduh keluarga. Walaupun sebenarnya pembelian rumah pertama tidak memberikan pulangan ke atas pelaburan (selagi mana ianya tidak dijual balik pada kadar yang lebih tinggi dari jumlah hutang) tetapi ianya memberikan pulangan intrinsik iaitu kita tidak lagi perlu risau akan kebajikan anak dan isteri atau keluarga sekiranya apa-apa berlaku pada diri kita. Berbeza dengan pinjaman atas sebab percutian tahunan. Ya, walaupun percutian memberikan pulangan intrinsik (iaitu rasa seronok dan bahagia) namun ianya bersifat sementara dan berulang. Seeloknya rancang percutian dengan membuat tabungan khas bagi tujuan tersebut.

Ketiga, jadikan simpanan sebagai satu perkara wajib setiap kali gaji. Semua maklum, dengan keadaan ekonomi sekarang, simpanan merupakan satu kemewahan kerana duit untuk menyara keluarga pun hanya cukup-cukup makan. Tapi pernahkah kita cuba untuk simpan walaupun sedikit bagi tujuan kecemasan? Berapa yang dimaksudkan dengan ‘sedikit’? Jawapannya terletak di tangan masing-masing. Jika anggap RM10 paling sedikit, simpanlah. Dari semasa ke semasa, cuba tambah simpanan. Kemudian boleh tambah portfolio simpanan dari hanya tabung kecemasan, kepada tabung pendidikan dan tabung lain-lain. Kalau perlu, buat potongan gaji terus ke dalam tabung simpanan yang diinginkan. Ingat, langkah pertama mesti bermula dengan diri sendiri.

Keempat, semak status kemampuan bayaran balik sebelum membuat hutang. Institusi peminjam wang akan membuat semakan komitmen kewangan sedia ada sebelum memberikan pinjaman. Namun begitu, institusi ini gagal mengambil kira komitmen diluar dari dokumen yang disediakan iaitu komitmen keluarga seperti kos menguruskan ibu/bapa atau anak yang sakit, kos tuisyen anak dan seumpamanya. Hanya kita yang tahu apakah komitmen kewangan bulanan yang perlu diketepikan bagi tujuan-tujuan ini. Oleh yang demikian, ambil kira semua komitmen ini sebelum membuat keputusan untuk membuat pinjaman.

Akhir sekali, buat penyelarasan hutang dari semasa ke semasa. Sekiranya anda mempunyai hutang sedia ada, sentiasa buat penyelarasan hutang untuk menguruskan hutang dengan lebih baik. Bagaimana? Cuba senaraikan hutang yang paling minimum dan mula buat simpanan berganda (dari nilai bayaran bulanan hutang tersebut). Apabila jumlah simpanan mencukupi, anda boleh langsaikan hutang tersebut dalam jangka masa lebih singkat dengan jumlah faedah yang lebih rendah. Kemudian, anda boleh fokus kepada penyelarasan hutang yang seterusnya. Anda juga boleh menyatukan hutang-hutang sedia ada untuk mengelak bayaran kadar faedah yang tinggi. Jika perlu, berbincanglah dengan pihak bank untuk fleksibiliti bayaran balik mengikut kemampuan sedia ada. Ini dapat mengelakkan anda untuk menambahkan hutang sedia ada.

Untuk mengelak berbelanja lebih dari kadar kemampuan, kita perlu kenal pasti yang manakah keperluan dan yang manakah kehendak. Fokus untuk penuhi keperluan dahulu sebelum memenuhi kehendak tanpa perlu mengambil pinjaman peribadi. Pada masa yang sama, ambil masa untuk berfikir sebelum membuat pembelian yang signifikan. Selepas membuat penilaian (daripada maklumat yang dikumpulkan), kita mampu untuk tidak terjebak dengan pembelian kompulsif yang akan merugikan dalam jangka masa panjang.

 

 

 

 

Dr. Khadijah Md Ariffin

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 19 Julai 2023: Pinjaman peribadi punca belia diisytihar bankrap

Pinjaman peribadi punca belia diisytihar bankrap

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 32), 14 Ogos 2023: Pinjaman perumahan lebih penting berbanding hutang

 

3. Utusan (utusan.com.my), 14 Ogos 2023: Pinjaman perumahan lebih penting berbanding hutang

Pinjaman perumahan lebih penting berbanding hutang peribadi